KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenal pasti jumlah sitaan bernilai RM143 juta yang melibatkan penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang, dipercayai milik seorang pemegang konsesi bergelar Tan Sri, sepanjang operasi yang dijalankan sejak minggu lepas.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata sitaan itu membabitkan 14 akaun individu berjumlah RM4.5 juta, lapan akaun syarikat (RM33 juta), kondominium mewah dan sebidang tanah (RM24.5 juta), serta sembilan unit kereta bernilai RM7.65 juta, selain 13 buah kereta yang masih belum diserahkan kepada pasukan siasatan.

Beliau berkata SPRM turut menyita jam tangan mewah bernilai RM25 juta, tas tangan (RM3 juta), barang kemas serta berlian (RM6 juta), empat ekor kuda (RM400,000), minuman keras mewah (RM3 juta), aset luar negara yang dianggarkan bernilai lebih RM15 juta serta aktiviti perjudian yang dipercayai mencecah RM20 juta.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku antara 2016 hingga 2020, membabitkan dana sukuk yang diluluskan kira-kira RM1.35 bilion melibatkan penyelewengan tuntutan palsu bernilai kira-kira RM360 juta dan RM416 juta, selain pinjaman fasiliti bank lain sebanyak RM50 juta.

“Projek lebuh raya bernilai RM1.67 bilion itu juga gagal disiapkan dalam tempoh ditetapkan. Siasatan turut menumpukan kepada isu rasuah bernilai RM12 juta yang dibayar kepada pihak tertentu sebagai balasan membantu mengalirkan wang keluar dan dikembalikan semula kepada suspek,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Azam berkata hasil tuntutan dana yang diseleweng itu dipercayai turut digunakan dalam aktiviti pengubahan wang haram.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihak yang terlibat dipercayai turut menggunakan golongan profesional seperti juruaudit, pakar kewangan, jurutera serta syarikat-syarikat yang bertindak sebagai penerima wang secara berlapis.

“Sehingga kini, SPRM belum mengambil keterangan Tan Sri terbabit kerana beliau masih dirawat di sebuah hospital swasta dab hari ini pegawai penyiasat akan mendapatkan pengesahan doktor berhubung status kesihatan beliau sebelum merakam keterangannya.

“Jumlah saksi juga masih kekal 45 orang dan sebahagian daripada mereka dipanggil semula untuk memberikan keterangan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Azam berkata pasukan siasatan sedang mengesan kenderaan mewah dan hartanah milik Tan Sri berkenaan di dalam dan luar negara, termasuk di London dan Switzerland.

Menurutnya, siasatan turut tertumpu kepada nilai sebenar minuman keras mewah dalam simpanan Tan Sri itu, dengan kemungkinan wang berkaitan telah dipindahkan ke akaun lain.

Katanya notis pengisytiharan harta telah diserahkan kepada Tan Sri terbabit serta pihak yang berkaitan.