• 2025-07-03 05:57 PM

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengarah syarikat bergelar Datuk disyaki terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram berjumlah kira-kira RM75 juta.

Kes ini membabitkan projek pembangunan rangkaian fiber.

Suspek lelaki berusia 50-an itu diberi perintah reman selama empat hari hingga 6 Julai oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret di sini.

Tangkapan dibuat selepas suspek hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM semalam.

Menurut sumber SPRM, siasatan awal mendapati RM75 juta disalurkan ke syarikat milik suspek pada 2012 bagi kelulusan pembiayaan pinjaman RM400 juta.

Operasi khas dikenali sebagai Op Fibre dijalankan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM pada 30 Jun lalu.

“BOK menggeledah empat lokasi termasuk kediaman dan pejabat suspek di Selangor dan Kuala Lumpur.

“Sebanyak 12 akaun bank bernilai RM400,000 dibekukan,“ kata sumber tersebut.

Pengarah Kanan BOK SPRM Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin mengesahkan tangkapan itu dan kes disiasat di bawah Akta AMLATFPUAA 2001. – AFP