• 2025-07-05 06:19 PM

KUALA LUMPUR: Pasangan suami isteri yang ditahan semalam kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang disyaki menjadi mangsa penderaan.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supt Mohd Hafis Muhammad Nor, berkata pasangan berusia 27 dan 28 tahun itu, yang juga keluarga angkat mangsa, sedang disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan kes,“ katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut laporan media semalam, kanak-kanak itu meninggal dunia dengan kesan lebam, bengkak, dan luka di seluruh badan. Kes disyaki berlaku di Paya Jaras, Sungai Buloh.

Polis menerima laporan kematian mangsa daripada pegawai perubatan Hospital Sungai Buloh pada 12.45 tengah malam Khamis lepas. Mangsa dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh pasangan terbabit.