BACHOK: Kerajaan kini sedang membangunkan sebuah aplikasi mudah alih bagi memudahkan penyaluran minyak bersubsidi kepada nelayan di seluruh negara.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil berkata aplikasi itu, dijangka boleh digunakan menjelang hujung tahun ini bagi menggantikan penggunaan alat peranti pembantu digital peribadi (PDA), yang digunakan ketika ini.

Beliau berkata buat masa ini, nelayan menggunakan PDA untuk mendapatkan subsidi minyak petrol namun peranti itu telah usang dan sering mengalami kerosakan.

“...dengan aplikasi baharu ini, proses mendapatkan subsidi minyak akan menjadi lebih mudah. Ia membolehkan semakan kelayakan serta jumlah minyak yang diperoleh dilakukan terus melalui telefon bimbit,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Rahmah Mesra LKIM bersama Nelayan Bachok di Portable Container System (PCS) Pantai Baru Bachok, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata aplikasi itu juga akan membolehkan proses pemantauan dan audit dilakukan secara langsung, sekali gus membantu mengekang sebarang penyelewengan.

“Menerusi aplikasi ini, kita dapat memantau prestasi nelayan termasuk pengisytiharan hasil tangkapan dan sebagainya. Setakat ini, hampir 40,000 nelayan di seluruh negara layak menerima subsidi minyak, namun jumlah yang diterima bergantung kepada jenis bot yang digunakan,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kemudahan PCS, Muhammad Faiz berkata inisiatif itu berjaya menyelesaikan masalah nelayan yang sebelum ini menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan bahan api.

“Sehingga kini, terdapat tujuh PCS beroperasi di seluruh negara. Kita turut merancang untuk membuka satu lagi di Perlis, satu di Terengganu dan tiga di Sabah dalam masa terdekat,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Faiz berkata LKIM komited untuk memperkasakan penyertaan nelayan muda dalam industri perikanan negara, bagi menjamin kelestarian sektor itu dalam jangka masa panjang.

Beliau berkata setakat ini, hanya 30 peratus daripada 112,000 nelayan berdaftar terdiri daripada mereka yang berumur bawah 40 tahun, satu angka yang perlu ditingkatkan.

“LKIM merancang untuk melancarkan program melahirkan tekong muda tempatan dalam masa terdekat, sebagai langkah menarik lebih ramai anak muda menyertai industri ini yang kini banyak bergantung kepada tekong dari Thailand.

“Saya percaya anak-anak muda hari ini lebih celik teknologi. Jika kita modenkan peralatan menangkap ikan dan sistem sokongan, ia boleh menarik minat mereka untuk terlibat secara aktif dalam industri perikanan,” katanya.

Muhammad Faiz berkata antara halangan utama kemasukan generasi muda ke sektor ini ialah pembekuan lesen sampan, namun LKIM sedang bekerjasama dengan Jabatan Perikanan bagi mempermudah proses berkaitan.

Terdahulu, Muhammad Faiz menyampaikan replika cek berjumlah RM250,000 kepada lima penerima Program Agropreneur Muda bagi bantuan enjin bot, dalam usaha menyokong golongan muda menceburi sektor itu.

Beliau turut menggalakkan penyertaan anak muda dalam sektor akuakultur yang disifatkan penting bagi menyumbang kepada sasaran negara meningkatkan pengeluaran ikan sehingga 40 peratus menjelang 2040.