SEPANG: Tiada istilah serik dalam kamus sukarelawan Malaysia yang terlibat dengan misi kemanusiaan Global Sumut Flotilla untuk membela nasib rakyat Palestin yang dizalimi rejim Zionis.
Muhammad Haikal Abdullah menyatakan kesanggupannya menyertai lagi misi kemanusiaan ke Gaza demi meneruskan solidariti terhadap rakyat Palestin.
Beliau menaiki kapal Free Willy dan meminta semua lapisan masyarakat terus menghulurkan bantuan kepada rakyat Gaza mengikut kemampuan masing-masing.
“Alhamdulillah, setakat ini semua baik dan insya-Allah jika ada rezeki kita akan pergi lagi,“ katanya semasa sidang media pada majlis sambutan kepulangan delegasi misi GSF Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1.
Penerbangan Emirates EK342 membawa 27 sukarelawan Malaysia termasuk empat dari kapal pemerhati dan lima peguam mendarat pada jam 10.07 malam Selasa.
Rejim Israel memintas kesemua 42 kapal misi kemanusiaan GSF ke Gaza dan menahan 495 aktivis termasuk 23 dari Malaysia pada 2 Oktober lepas.
Norazman Ishak menegaskan penyertaannya dalam GSF bukan sekadar misi individu tetapi membawa suara dan harapan seluruh rakyat Malaysia untuk Gaza.
Beliau mengakui berdepan sekatan dan dinafikan beberapa hak kemanusiaan sepanjang tempoh tahanan tentera Israel.
“Namun apabila mengenangkan penderitaan rakyat Gaza yang jauh lebih dahsyat, kami reda dan terus bersemangat,“ katanya.
Nurfarahin Romli berkata penyertaan aktivis wanita dalam misi GSF membawa suara kaum hawa dan ibu-ibu yang tertindas di Gaza.
“Tudung kami dirampas, kami dihina di hadapan lelaki tanpa tudung, dan kami terpaksa memakai baju putih ini untuk menutup kepala serta rambut,“ katanya.
Muhammad Hareez Adzrami menyatakan penyertaannya dalam flotilla itu memberikan pengalaman berharga dan menyuntik semangat baharu kepada generasi muda.
“Saya harap pengorbanan kami dapat membuka mata generasi muda untuk terus bersama membantu Palestin,“ katanya.
Nurul Hidayah Mohd Amin merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang hadir menyambut kepulangan delegasi Malaysia.
“Terima kasih kepada semua yang sudi datang menyambut kami dan saya harap orang ramai dapat hadir ke Axiata Arena di Bukit Jalil esok,“ katanya. – Bernama