• 2025-10-08 10:48 AM

SEPANG: Semua 23 sukarelawan Malaysia yang ditahan rejim Zionis bukan kerana memasuki Israel secara haram tetapi dikepung di perairan antarabangsa ketika menjalankan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla untuk menghantar bantuan ke Gaza.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan meminta orang ramai tidak terpengaruh dengan sentimen dan tuduhan tidak berasas tersebut.

“Mereka tak pergi ke Israel, mereka nak pergi ke Gaza tetapi dikepung tentera rejim zionis dan ditahan,” katanya dalam sidang media selepas menyambut ketibaan kumpulan 23 sukarelawan Malaysia di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini.

Mohamad menyifatkan kepulangan selamat sukarelawan tersebut sebagai kejayaan besar diplomasi Malaysia yang melambangkan solidariti antarabangsa.

“Kita amat bersyukur kepada Allah atas kepulangan selamat rakyat kita ke tanah air malam ini,” katanya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas usaha diplomasi berterusan dengan sokongan kepimpinan negara sahabat seperti Turkiye, Mesir dan Jordan.

Mohamad berkata kerajaan Turkiye memainkan peranan penting dalam memudah cara pembebasan sukarelawan Malaysia yang ditahan secara tidak sah di Israel.

“Alhamdulillah, rakyat kita telah pun selamat pulang,” katanya.

Terminal 1 KLIA diselubungi suasana penuh emosi apabila seramai 27 sukarelawan Malaysia termasuk empat orang dari kapal pemerhati serta lima peguam selamat tiba di tanah air.

Suasana dipenuhi rasa bangga, syukur dan kelegaan apabila ahli keluarga serta pendukung Palestin memakai keffiyeh dan mengibarkan bendera Palestin.

Kepulangan mereka menandakan berakhirnya satu perjalanan getir yang bermula apabila flotila bantuan itu dipintas tentera Israel di zon merah perairan Laut Mediterranean sebelum mereka dibawa secara paksa ke Pelabuhan Ashdod, Israel. – Bernama