• 2025-08-25 04:46 PM

SUBANG: Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah berangkat tiba di Malaysia bagi memulakan Lawatan Negara selama empat hari hingga Khamis atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Pesawat khas membawa Sultan Hassanal Bolkiah bersama delegasi termasuk Pengiran Muda ‘Abdul Mateen Bolkiah, menteri-menteri Kabinet serta pegawai kanan kerajaan Brunei mendarat di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada 3.03 petang.

Ketibaan baginda disambut Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Sejurus mendarat, Sultan Brunei berkenan memeriksa kawalan kehormatan 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) diketuai Kapten Muhammad Asyraf Zulkifli.

Sultan Hassanal Bolkiah akan diberi sambutan negara di Istana Negara esok, diikuti dengan Kunjungan Menghadap Yang di-Pertuan Agong serta majlis santapan negara yang akan dianjurkan oleh Sultan Ibrahim.

Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan lawatan itu akan disusuli Rundingan Pemimpin Tahunan Malaysia-Brunei (ALC) ke-26.

Sepanjang lawatan itu, Sultan Hassanal Bolkiah turut dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri sempena ALC ke-26 Rabu ini.

ALC merupakan mekanisme dua hala tertinggi antara Malaysia dan Brunei, menjadi wadah bagi kedua-dua pemimpin menilai kemajuan kerjasama sedia ada, membincangkan isu berbangkit serta bertukar pandangan mengenai hal serantau dan antarabangsa berkepentingan bersama.

Lawatan serta mesyuarat tahunan itu mencerminkan hubungan istimewa yang lama terjalin antara Malaysia dan Brunei, sekali gus menegaskan komitmen bersama memperkukuh kerjasama strategik demi kemakmuran serta kesejahteraan rakyat kedua-dua negara.

Pada 2024, Brunei merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia dalam ASEAN dengan jumlah dagangan bernilai RM7.53 bilion (USD1.77 bilion).

Bagi tempoh Januari hingga Jun 2025, jumlah dagangan Malaysia-Brunei mencecah USD690 juta (RM3.02 bilion), dengan eksport berjumlah USD500 juta (RM2.18 bilion) dan import USD190 juta (RM840 juta).