Your Title

KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mahu suspek kes wanita yang ditemukan mati di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur di sini semalam diberkas segera.

Baginda turut mahu hukuman setimpal dikenakan terhadap pelaku selain menyifatkan kejadian yang menimpa mangsa sebagai kejam dan tidak berperikemanusian.

“Baginda mahu suspek segera diberkas dan hukuman setimpal dikenakan jika disabitkan atas kesalahan membunuh,“ menurut hantaran Facebook Kesultanan Pahang.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah berkenan menyantuni keluarga peniaga makanan itu di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini hari ini.

Keberangkatan baginda di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik HTAA diiringi Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan anakanda Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Al-Sultan Abdullah kelihatan sebak mendengar dan melihat kesedihan keluarga wanita itu serta turut menenangkan Zainal Rahim, 65, dan Mohammad Afiq Akhmal Nudin, 31, masing-masing bapa serta suami kepada mangsa.

Dalam kunjungan itu, baginda juga menitipkan titah nasihat dan kata-kata semangat buat Mohammad Afiq.

Zainal ketika ditemui pemberita berkata dia tidak menyangka sama sekali kejadian seperti itu akan berlaku membabitkan ahli keluarga sendiri dan terkesan dengan pemergian anak keduanya Norshamira, 37.

“Kali terakhir saya jumpa anak pada 28 Jan lepas di Melaka semasa melawat saudara kami. Norshamira seorang yang peramah dan selalu telefon saya dan isteri untuk bertanya khabar.

“Saya dimaklumkan mengenai kejadian ini semalam oleh suami anak, memang tak sangka dia pergi dalam keadaan macam ini. Saya harap pelaku jenayah terhadap anak segera ditangkap polis,“ katanya.

Sementara itu, Mohammad Afiq Akhmal berkata beliau telah keluar mencari isterinya selepas menyedari mangsa masih tidak pulang ke rumah pada 5 pagi semalam.

“Pada Rabu isteri ada maklum nak balik rumah sekitar 10.30 malam, tetapi dia tidak pulang sampai pagi menyebabkan saya keluar mencarinya bersama rakan-rakan sebelum jumpa kereta kami di Tanjung Lumpur selepas tergerak hati hendak ke situ kerana pernah hantar pesanan di kawasan berkenaan.

“Dalam kereta memang tiada orang, isteri kemudian ditemukan oleh seorang rakan dan bapa saya telah memaklumkan penemuan itu kepada polis,“ katanya sambil memaklumkan Norshamira menjalankan perniagaan sambal ikan bilis sejak setahun lepas dan akan melakukan penghantaran empat kali seminggu.

Jenazah ibu kepada seorang anak lelaki berusia lima tahun itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Perantau Damai Keratong 8, Rompin sejurus selesai bedah siasat hari ini.

Semalam, Bernama melaporkan mayat seorang peniaga makanan wanita tempatan berusia 37 tahun ditemukan di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur di sini dan siasatan lanjut mendapati terdapat unsur jenayah pada tubuh mangsa.