KLANG: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima zakat perniagaan daripada dua syarikat berjumlah RM2.33 juta di Masjid Bandar Bukit Raja, di sini hari ini.

Syarikat tersebut ialah Bank Islam Malaysia Berhad dan Bawal Eksklusif yang masing-masing berjumlah RM1.33 juta dan RM1 juta.

Sultan Selangor juga berkenan menerima sumbangan wakaf tunai korporat masing-masing bernilai RM50,000 daripada Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).

Baginda turut berkenan merasmikan Masjid Bandar Bukit Raja yang terletak di atas tanah seluas 1.71 hektar dengan kos pembinaan sebanyak RM11.9 juta.

Menerapkan rekaan berkonsep terbuka dan mesra hijau, masjid yang mampu memuatkan sehingga 1,850 jemaah dalam satu-satu masa itu siap dibina pada 1 Dis 2021 dan beroperasi pada 4 April 2022.

Terdahulu, ketibaan Sultan Sharafuddin yang diiringi Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah pada 6.20 petang disambut Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari serta Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.

Baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan hari raya dengan jumlah keseluruhan RM229,000 kepada 458 asnaf terdiri daripada kategori fakir, miskin dan mualaf daerah Klang dengan setiap seorang menerima RM500.

Sementara itu, Pegawai Daerah Klang Amri Ismail dalam sembah ucapannya memaklumkan sehingga 28 Feb lepas, jumlah kutipan premium tanah dan permit bagi Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang mencecah RM119.7 juta iaitu 41 peratus daripada jumlah kutipan yang disasarkan kerajaan negeri bagi daerah itu.

“Sejumlah RM1.8 juta telah diperuntukkan pada tahun ini bagi penganjuran pelbagai program kemasyarakatan oleh PDT Klang termasuk program bantuan kepada golongan yang layak dan usahawan bagi meningkatkan pendapatan, taraf hidup serta membasmi kemiskinan,” katanya.

Selain itu, beliau memaklumkan projek Selangor Maritime Gateway (SMG) bagi Zon 6 (Kampung Sungai Kandis ke Alam Impian) dan Zon 8 (Kota Kemuning ke Kampung Lombong) setakat 31 Jan lepas telah mencapai kemajuan 37.58 peratus serta dijangka siap sepenuhnya tahun hadapan.

Katanya projek tersebut bukan sahaja akan meningkatkan kapasiti tetapi juga tahap kualiti dan kuantiti air sungai selaras dengan hasrat kerajaan negeri menjadikan Sungai Klang sebagai sumber bekalan air mampan.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut berbuka puasa dan solat maghrib, isyak serta tarawih bersama rakyat.