KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menggalakkan suri rumah di Malaysia untuk mencarum Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang diperkenalkan pada 1 Dis lepas.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata skim itu amat bermanfaat kepada suri rumah sebagai perlindungan sekiranya berlaku kemalangan atau sebarang insiden sehingga boleh menjejaskan keupayaan mereka menguruskan rumah tangga.
“Contoh kes seorang suri rumah yang meninggal dunia pada 26 Dis tahun lepas di mana keluarganya layak menerima Pencen Penakat. Kes beliau telah dikenal pasti pasti oleh pihak Perkeso setelah tular di media sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bayaran faedah pengurusan jenazah kepada ahli keluarga arwah Nur Atirah Jafar, 22, di Kampung Bintawa Hilir di sini hari ini.
Berdasarkan kenyataan Perkeso, arwah yang mempunyai seorang anak lelaki berusia setahun dan meninggal dunia sehari selepas meraikan hari jadi pertama anaknya itu.
“Hasil siasatan dan semakan Perkeso mendapati waris arwah layak membuat tuntutan faedah Pencen Penakat di bawah Skim Keilatan, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.
“Waris akan menerima faedah pengurusan jenazah berjumlah RM2,000 beserta pencen bulanan sehingga anak mencapai umur 21 tahun,” menurut kenyataan itu.
Berdasarkan data Perkeso, lebih 40,000 pencarum yang merupakan suri rumah di Sarawak ini telah mencarum dengan SKSSR. - Bernama