KUANTAN: Sebuah syarikat pembekal minyak masak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan mengemukakan maklumat palsu berkaitan barangan kawalan pada 2023 lalu.
Syarikat Edge Shipping Resources Sdn Bhd, diwakili oleh pengarahnya Abdul Rahman Ahmad, 78 tahun, mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan.
Menurut pendakwaan, syarikat tersebut didakwa mengemukakan 42 dokumen palsu termasuk invois dan cash sales kepada Pasar Mini Setali.
Dokumen tersebut berkaitan pembekalan barangan kawalan iaitu minyak masak berjadual yang diminta oleh penolong pengawal bekalan.
Kesalahan itu dilakukan di Pusat Pertumbuhan Desa Kampung Soi, Jalan Pantai Sepat pada 1 November 2023.
Syarikat itu didakwa di bawah Subseksyen 8(4)(b) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum mengikut subseksyen 22(2).
Jika sabit kesalahan, syarikat berdepan denda maksimum RM2 juta atau RM5 juta bagi kesalahan berulang.
Peguam syarikat, Ahmad Faizzuddin Fatahai Ariffin, memohon tarikh baharu untuk perbicaraan semula fakta kes dan hukuman.
Hakim Wan Noor Aisah Mohamed menetapkan 8 Ogos depan sebagai tarikh sambungan perbicaraan. – Bernama