PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa amalan tatakelola baik akan terus menjadi keutamaan dalam pentadbiran kerajaan bagi menangani isu rasuah dan pembaziran yang berleluasa. Beliau turut menghargai sokongan penjawat awam dalam memacu agenda reformasi dan aspirasi MADANI.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, tindakan terhadap kes rasuah lama tidak boleh dilihat sebagai bersifat peribadi atau dendam, terutamanya apabila melibatkan individu yang sudah meninggal dunia. “Kita bukan mahu menghukum orang yang telah tiada, tetapi bertujuan mendapatkan semula dana awam yang disalahgunakan,“ jelasnya semasa berucap di perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan.
Beliau turut mengkritik beberapa tokoh pembangkang yang mempertahankan kekayaan luar biasa individu tertentu tanpa mengetahui jumlah sebenar aset yang dimiliki. “(Mereka) guna Parlimen itu mempertahankan orang yang memunggah kekayaan berbilion-bilion...berniaga apa? Tak tahu tapi berapa kekayaan RM4 bilion, dia beli saham agaknya...bila dia meninggal berapa dana dia? RM20 bilion...ini sesuatu yang langsung tidak boleh diterima,“ tegas Anwar. - Bernama