• 2025-07-12 02:37 PM

KUALA TERENGGANU: Terengganu dipilih sebagai negeri pertama melaksanakan program Tuisyen MADANI dengan peruntukan sebanyak RM5.27 juta, yang dijangka memberi manfaat kepada 9,408 pelajar dengan melibatkan khidmat 614 guru sekolah.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pemilihan Terengganu sebagai perintis program berkenaan adalah berdasarkan pencapaian cemerlang dalam peperiksaan awam oleh pelajar di negeri itu.

“Saya hargai dan nampak Terengganu mencatat satu keputusan yang cemerlang dan saya turut bangga sebagai seorang bapa dan datuk. (Oleh itu) saya ingin umumkan khusus (Tuisyen MADANI) untuk Terengganu dahulu sebagai permulaan bantuan kepada pelajar-pelajar sekolah.

“Bantuan ini (dilakukan) dengan kerjasama pengajar terdiri daripada guru-guru sekolah...ini program pertama di Malaysia,“ katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Terengganu di Pasar Kedai Payang, di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek - BERNAMA