• 2025-07-24 02:31 PM

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) sedang mengusahakan kaedah penyerahan pasport jemaah haji secara digital bagi mengurangkan keperluan mereka hadir secara fizikal ke pejabat cawangan TH.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Hasan berkata inisiatif itu antara langkah TH menambah baik serta meningkatkan kecekapan dalam pengurusan haji demi keselesaan jemaah.

“Dengan itu didoakan semoga pentadbiran dan pengurusan haji Malaysia terus terbaik di dunia, insya-Allah,“ katanya menjawab soalan tambahan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) mengenai penambahbaikan dilaksanakan TH untuk musim haji 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata pelbagai langkah dilaksanakan oleh TH untuk memastikan pengurusan ibadah haji dilaksanakan sebaik mungkin antaranya pengurusan buku rawatan jemaah haji digital yang diperkenalkan bagi membantu petugas perubatan menyemak rekod kesihatan jemaah secara dalam talian.

“Ini juga bertujuan mengelakkan kehilangan buku rekod rawatan fizikal. Bukan itu sahaja, aplikasi haj mobility juga diperkenalkan bagi memudahkan petugas menyelaraskan pergerakan jemaah sepanjang musim haji,“ katanya.

Sementara itu, Zulkifli berkata semua bakal haji Malaysia yang layak menunaikan ibadah itu berjaya memperoleh visa haji termasuk mereka yang berdepan cabaran teknikal semasa pendaftaran biometrik menerusi aplikasi mudah alih Saudi Visa Bio.

Beliau berkata kejayaan itu hasil kerjasama erat antara TH, Kedutaan Arab Saudi dan agensi teknikal berkaitan, namun TH mengambil maklum terdapat sebilangan kecil jemaah haji menghadapi kesukaran mendaftar data biometrik menerusi aplikasi berkenaan.

“Isu ini berpunca daripada faktor teknikal seperti ketidakserasian peranti mudah alih, ketidaktepatan pengimbasan wajah/jari, dan keperluan naik taraf sistem teknikal dari semasa ke semasa sesuai dengan perkembangan terkini,“ katanya.

Bagi memudahkan jemaah, TH menyediakan panduan lengkap serta sokongan melalui portal rasmi www.tabunghaji.gov.my. Pusat khidmat pelanggan TH juga disediakan bagi membantu jemaah yang menghadapi masalah teknikal. - Bernama