• 2025-07-25 10:35 PM

JITRA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta mengarahkan tentera mereka berundur dari sempadan.

Beliau berkata kedua-dua negara memerlukan sedikit masa untuk melaksanakan perintah tersebut memandangkan tentera mereka sudah berada di kawasan sempadan.

“Semalam saya berbincang dengan Pemangku Perdana Menteri Thailand dan Perdana Menteri Kemboja. Mereka menghormati kedudukan Malaysia sebagai negara yang aman dan stabil,” katanya semasa berucap di Program Sambutan Peringatan Hari Antidadah 2025 di sini.

Laporan Bernama semalam menyatakan Anwar menyambut baik kesediaan Bangkok dan Phnom Penh mempertimbangkan gencatan senjata bagi mengelakkan konflik lebih serius.

Anwar sebelum ini menghubungi Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai bagi menyuarakan kebimbangan Malaysia berhubung ketegangan di sempadan.

Media melaporkan tentera kedua-dua negara terlibat dalam pertempuran di kawasan pertikaian sempadan pada Khamis lalu.

Ketegangan meningkat sejak 28 Mei selepas insiden berdarah di Preah Vihear yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja.

Kedua-dua negara masih belum menyelesaikan pertikaian sempadan sepanjang 817 kilometer yang berlarutan selama beberapa dekad. - Bernama