KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan perkhidmatan tambang percuma selama dua hari sempena Thaipusam bermula 10 Feb.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kemudahan itu ditawarkan kepada penumpang KTM Komuter Lembah Klang, menggunakan mekanisme imbasan keluar melalui pintu automatik (ACG), selain perkhidmatan itu akan beroperasi 24 jam bagi tempoh empat hari bermula Ahad.
Beliau berkata perkhidmatan bagi laluan Pelabuhan Klang-Tanjung Malim-Pelaburan Klang akan diubah dan beroperasi mengikut jadual perjalanan penuh sepanjang sambutan itu.
“Inisiatif ini diambil bagi memenuhi keperluan permintaan penumpang khususnya penganut agama Hindu, pelancong serta orang awam yang ingin menyaksikan keunikan sambutan Thaipusam di Batu Caves.
“Kita jangkakan hampir 500,000 pengguna akan memanfaatkan perkhidmatan ini, iaitu peningkatan 10 peratus berbanding tahun lepas dengan kemuncak perjalanan dijangka pada 11 Feb,” katanya pada sidang media di Stesen KTM Batu Caves di sini hari ini.