• 2025-07-24 02:26 PM

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus memperkukuh kerjasama dengan agensi penguat kuasa antarabangsa bagi menjejaki ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menegaskan tiada bukti sahih yang mengesahkan lokasi semasa Jho Low atau penggunaan pasport oleh individu tersebut.

“Berhubung laporan tertentu yang mengaitkan lokasi serta penggunaan pasport oleh individu itu, saya tegaskan bahawa perkara berkenaan belum disokong dengan apa-apa bukti sah sehingga kini. Jadi ia kekal sebagai dakwaan,“ katanya selepas melawat Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di sini.

Baru-baru ini, terdapat dakwaan bahawa Jho Low, yang terlibat dalam skandal 1MDB, kini menetap di kawasan elit Shanghai, China, menggunakan pasport Australia palsu.

Saifuddin turut mengumumkan pemindahan pusat operasi NSRC ke Cyberjaya pada September ini. Premis baharu itu akan dilengkapi kemudahan terkini dan ruang lebih luas, termasuk kaunter aduan untuk memudahkan orang ramai membuat laporan secara fizikal.

“Keputusan itu (memindahkan pusat operasi) akan disertai dengan penambahan perjawatan 139 dan pertambahan agensi juga. Sekarang ini saya sebut empat tapi secara prinsipnya, kita bersetuju juga untuk menerima penyertaan dua lagi agensi, iaitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dan juga Suruhanjaya Sekuriti,“ jelasnya.

NSRC kini terdiri daripada empat agensi: PDRM, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional. - Bernama