KOTA KINABALU: Seorang pegawai perubatan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Queen Elizabeth memberitahu Mahkamah Koroner bahawa tiada kesan lebam atau tanda penderaan ditemukan pada tubuh Allahyarham Zara Qairina Mahathir semasa pemeriksaan pada 16 Julai lepas.
Dr Janefer Voo berkata pelajar tingkatan satu itu dibawa ke jabatan kecemasan oleh pasukan ambulans dalam keadaan tidak sedarkan diri tanpa pengetahuan mekanisme kecederaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati, tiada sebarang kesan lebam atau tanda penderaan pada tubuh pesakit,” kata saksi ketiga itu ketika membacakan pernyataan saksinya pada hari keempat prosiding inkues.
Beliau menyatakan remaja itu disyaki mengalami kecederaan otak yang serius dan pendarahan dalaman disebabkan tekanan darah yang terlalu rendah.
Dr Voo menjelaskan kecederaan dalaman itu disyaki berpunca daripada impak tinggi pada badan yang mengakibatkan pendarahan dalaman.
Amaran trauma diaktifkan pada 4.42 pagi bagi membolehkan rujukan segera dibuat kepada pasukan Jabatan Neurosurgeri, Ortopedik, Pembedahan dan Anestesiologi.
Prosedur resusitasi dilakukan terhadap mangsa yang berada dalam keadaan sangat kritikal menurut penilaian awal.
Ketika disoal mengenai kadar kemandirian mangsa, Dr Voo berkata beliau tidak pasti mengenai perkara itu ketika kejadian.
Hasil ujian darah pesakit menunjukkan keputusan tidak normal seperti darah putih tinggi dan kalium dalam julat sederhana rendah.
Keadaan itu boleh disebabkan tindakan fisiologi badan yang tertekan akibat trauma.
Hasil dapatan X-ray mendapati pesakit mengalami pelbagai fraktur tertutup dan terbuka pada beberapa tulang.
Fraktur tertutup ditemui pada hujung tulang radius tangan kiri serta hujung tulang tibia dan buku lali kaki kanan.
Fraktur terbuka ditemui di hujung tulang tibia, buku lali dan tumit kaki kiri.
Tulang belakang lumbar 2, 3 dan 4 juga patah menurut laporan perubatan.
Beberapa petugas lain termasuk paramedik dan pegawai perubatan terlibat dalam rawatan awal pesakit.
Dr Voo berkata pihak hospital tidak menghubungi polis ketika pesakit dibawa masuk kerana keutamaan diberikan untuk menstabilkan keadaan kritikal.
“Saya tidak nampak pegawai polis mahupun ibu mangsa di jabatan kecemasan pada hari kejadian,” katanya.
Prosiding siasatan di hadapan Koroner Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan bersambung selepas rehat tengah hari.
Zara Qairina yang berusia 13 tahun meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai selepas dimasukkan sehari sebelumnya.
Remaja itu ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada pukul 4 pagi.
Pejabat Peguam Negara mengarahkan inkues dijalankan pada 13 Ogos selepas meneliti laporan siasatan polis.
Pada 8 Ogos, AGC mengeluarkan perintah untuk menggali semula kubur Zara Qairina bagi membolehkan bedah siasat dilakukan. – Bernama