SERDANG: Siasatan awal mendapati tiada sebarang sentuhan fizikal berbentuk penderaan terhadap pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Syamsul Haris Shamsudin ketika latihan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Ulu Tiram, Johor pada 28 Julai lepas.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika memaklumkan perkara itu berkata pelatih berkenaan tidak bermalam dan berulang-alik dari universiti sepanjang latihan berlangsung selain latihan dijalankan di padang terbuka bersama pelatih lain.
“Setakat ini, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menyoal siasat lebih 30 individu termasuk jurulatih serta pelatih lain bagi mengenal pasti sekiranya terdapat unsur jenayah dalam kejadian yang menyebabkan kematian kadet PALAPES Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu.
“Katalah jika berlaku kekasaran luar biasa, pelatih-pelatih lain tentu akan mengambil gambar dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Syarahan Eksekutif Menteri Pertahanan di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini.
Justeru, beliau meminta semua pihak agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi berhubung kematian Syamsul Haris dan menunggu laporan bedah siasat kedua dikeluarkan nanti.
Syamsul Haris, 22, meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi pada 28 Julai selepas menjalani latihan dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih pada keesokan harinya.
Pada 19 Ogos lepas, ibu Syamsul Haris, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, mengemukakan permohonan menggali semula kubur bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan serta mencadangkan supaya prosiding inkues dimulakan bagi menyiasat kematian anaknya.
Pada 30 Ogos, bedah siasat kedua terhadap jasad Allahyarham Syamsul Haris dilaksanakan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan jenazah dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Hulu, Semenyih kira-kira 6.09 petang hari sama.
Terdahulu, Mohamed Khaled menyampaikan syarahan kepada 1,927 pelatih kadet PALAPES dari 20 universiti awam di seluruh negara yang bakal dikurniakan Watikah Tauliah Pegawai Kadet PALAPES pada 13 Sept ini.
Dalam syarahannya, Mohamed Khaled menyebut mengenai beberapa perkara antaranya mengenai semangat kemerdekaan, cabaran masa depan industri pertahanan, peranan negara dalam menghadapi konflik antarabangsa dan sumbangan pelatih kadet PALAPES dalam pertahanan negara serta masyarakat.
Hadir sama, Panglima ATM Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaafar, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain dan Panglima Tentera Udara Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan bin Aris- BERNAMA