• 2025-10-17 08:37 PM

KUALA LANGAT: Tiga agensi agama telah menyalurkan sumbangan berjumlah RM184,700 kepada mangsa ribut di sekitar Telok Panglima Garang.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia dan Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan memberikan bantuan kewangan itu pada Rabu lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata bantuan itu akan memberi manfaat kepada 65 keluarga dan Sekolah Rendah Agama Kampung Medan yang musnah teruk.

Beliau menyatakan JAKIM menyumbang RM86,400 diikuti Yayasan Taqwa dan YAPIEM masing-masing RM65,000 dan RM33,300.

“Sesungguhnya ini adalah sebahagian daripada ujian daripada Allah untuk meningkatkan keimanan kita,“ katanya kepada pemberita selepas meninjau SRA Kampung Medan.

Mohd Na’im menegaskan bantuan itu mencerminkan prinsip ‘Ihsan’ dalam gagasan Malaysia MADANI yang prihatin terhadap rakyat.

Beliau berkata setiap agensi agama perlu memainkan peranan bukan hanya dalam aspek kerohanian malah bertanggungjawab dari segi sosial.

Sebanyak RM70,000 daripada jumlah bantuan itu diperuntukkan untuk membaik pulih SRA Kampung Medan termasuk surau dalam kawasan sekolah.

Mohd Na’im berjanji pihaknya akan memastikan sekolah dan surau yang menampung 1,500 murid itu dibaik pulih secepat mungkin.

Proses pemulihan amat penting untuk keselesaan pelajar yang akan menduduki Ujian Penilaian Kelas al-Quran dan Fardhu Ain pada 17 November.

“Kerajaan MADANI melalui Jabatan Perdana Menteri akan terus cakna dan prihatin terhadap kebajikan rakyat,“ katanya.

Dalam kejadian ribut kira-kira 4.15 petang Rabu lepas, enam sekolah dan lebih 40 rumah mengalami kerosakan.

Kawasan terjejas termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan Sijangkang Jaya, Sekolah Kebangsaan Sijangkang Jaya dan Sekolah Kebangsaan Kampung Medan.

Bangunan lain yang rosak ialah Sekolah Rendah Agama Kampung Medan, Sekolah Kebangsaan Jalan Tanjung dan Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai.

Kerosakan turut melibatkan Dewan Wawasan Batu 9, Pejabat Penyelaras DUN Sijangkang, kawasan perumahan Batu 9 dan kawasan industri Taman Sijangkang Jaya. – Bernama