• 2025-10-02 12:55 PM

SEPANG: Hanya tiga kapal yang membawa rakyat Malaysia dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) menuju ke Gaza masih disahkan belayar dan mengekalkan hubungan dengan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) setakat pukul 10 pagi ini.

Menurut data sistem pengesan SNCC, kapal terbabit ialah Fair Lady yang membawa Zainal Rashid Ahmad dan Ustaz Muhammad Abdullah.

Kapal Free Willy pula membawa Muhammad Hareez Adzrami dan Dr Taufiq Mohd Razif manakala kapal Inana membawa Razali Awang.

Bagaimanapun, dua kapal lain iaitu Estrella dan Mikeno yang turut membawa rakyat Malaysia dilaporkan terputus hubungan.

Status sama ada kedua-dua kapal itu telah dipintas atau penumpangnya ditahan tentera Israel masih belum dapat disahkan.

Mereka yang berada di atas kapal Estrella ialah PU Rahmat, Norhelmi, Mohd Asmawi dan Norazma.

Kapal Mikeno pula membawa seorang lagi rakyat Malaysia bernama Ardell Aryana.

Secara keseluruhannya, sebanyak 10 kapal membawa 23 rakyat Malaysia dalam misi GSF menuju ke Gaza.

Sehingga pukul 7.50 pagi waktu Malaysia, seramai 12 rakyat Malaysia disahkan ditahan tentera Israel selepas kapal mereka memasuki zon merah R3.

Zon merah R3 terletak kira-kira 100 batu nautika dari Gaza dan insiden penahanan berlaku malam tadi.

Empat rakyat Malaysia lain dilaporkan berada di atas kapal Jong sebagai pemerhati di luar zon merah.

Mereka ialah Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Mazian Seman, Serieffa Mushtafa Albakry dan Ariff Budiman. – Bernama