KUALA LUMPUR: Ikatan Komuniti Selamat memuji keputusan kerajaan untuk mewujudkan pangkalan data komprehensif mengenai pemandu cuai dan menyifatkannya sebagai langkah penting dalam memastikan individu yang mempunyai rekod kesalahan trafik serius tidak dibenarkan memandu kenderaan berat atau awam.
Bagaimanapun, Pengerusinya Tan Sri Lee Lam Thye menggesa pangkalan data itu dilaksanakan segera yang turut merangkumi kesalahan seperti pemanduan berbahaya, memandu laju, penyalahgunaan bahan terlarang, memotong secara merbahaya atau menyebabkan kematian.
“Pangkalan data itu sepatutnya sudah diwujudkan lebih awal. Pemandu yang kerap melakukan kesalahan atau terlibat dalam kesalahan serius perlu segera dilucutkan kelayakan memandu kenderaan berat. Keselamatan orang ramai perlu diutamakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lee turut meminta kerajaan menjalankan audit dan saringan menyeluruh terhadap semua pemandu kenderaan berat sedia ada, termasuk pemandu bas bagi memastikan individu yang mempunyai rekod pemanduan buruk tidak dibenarkan memandu di jalan raya.
“Keselamatan orang ramai tidak boleh dikompromi oleh sikap tolak ansur atau birokrasi,” katanya.
Selain penguatkuasaan yang lebih ketat terhadap pemandu, pihaknya turut menggesa syarikat pengangkutan dipertanggungjawabkan di bawah peruntukan liabiliti korporat.
Lee merangkap ahli Majlis Keselamatan Jalan Raya berkata hukuman berat wajar dikenakan terhadap majikan yang tetap berdegil menggaji pemandu bermasalah.
“Perlu ada peruntukan liabiliti korporat supaya pengendali pengangkutan bertanggungjawab secara langsung untuk memastikan pemandu mempunyai kecekapan, terlatih, dan rekod yang baik.
“Tragedi kemalangan bas di Gerik baru-baru ini mungkin dapat dielakkan sekiranya pemandu yang cuai serta bas terbabit telah dilarang beroperasi melalui penguatkuasaan undang-undang yang tegas dan berintegriti,” katanya.
Lee berkata walau sebaik mana dasar diperkenalkan, ia tidak mampu memberi impak jika tiada penguatkuasaan berterusan yang berkesan, termasuk pemeriksaan secara mengejut dan berkala, penggunaan meluas kamera papan pemuka serta sistem telematik, sistem kotak hitam dan pematuhan waktu rehat.
“Kita perlu bertindak sekarang dan tidak boleh menunggu sehingga satu lagi kemalangan ngeri berlaku,” katanya.
“Kami menyeru semua pihak berkepentingan termasuk agensi penguatkuasaan, Kementerian Pengangkutan, syarikat kenderaan komersial dan para pemandu berganding bahu menjadikan jalan raya kita lebih selamat untuk semua,” tambahnya.
Pada awal pagi Isnin lepas negara dikejutkan dengan kehilangan nyawa 15 penuntut UPSI apabila bas sewa khas yang membawa mereka dari Jertih, Terengganu ke kampus utama Tanjung Malim, Perak terbalik selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta Perodua Alza di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik.
Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang Perodua Alza.