KOTA KINABALU: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melaksanakan penembakan misil Exocet dan torpedo Black Shark dalam Eksesais TAMING SARI 23/25 di Laut China Selatan bagi meningkatkan kesiapsiagaan pertahanan maritim negara.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata eksesais itu melibatkan penembakan Misil Exocet MM40 oleh KD Lekiu dan KD Lekir, serta Misil Exocet SM39 dari kapal selam KD Tunku Abdul Rahman.
“Eksesais ini mencatat sejarah apabila buat pertama kali melibatkan penembakan torpedo Black Shark dalam konfigurasi perang oleh kapal selam KD Tun Razak,” katanya.
Penembakan misil Exocet dilakukan pada jarak lebih 30 kilometer, manakala torpedo Black Shark dilancar dalam jarak kurang 10 kilometer.
“Eksesais seperti ini penting untuk memastikan angkatan tentera kita sentiasa berkompetensi dalam mempertahankan negara,” jelas Mohamed Khaled.
Eksesais TAMING SARI 23/25 dijalankan bersama Eksesais KERISMAS 28/25 dari 8 hingga 31 Julai, melibatkan 15 kapal dan dua kapal selam TLDM dengan sokongan Tentera Darat, Tentera Udara Diraja Malaysia, dan APMM.
Mohamed Khaled menekankan kepentingan pemodenan aset pertahanan, terutamanya bagi aset TLDM yang telah berusia tetapi masih beroperasi pada tahap optimum.
“Kita sedang melalui proses pemodenan di bawah dasar angkatan masa hadapan. Pertahanan negara bukan hanya bergantung pada aset, tetapi juga keupayaan anggota,” katanya. - fotoBERNAMA