KUALA LUMPUR: Bekalan tenaga elektrik adalah antara perkara yang kurang difikirkan oleh kebanyakan rakyat Malaysia — sehinggalah ia terputus.

Realitinya, di sebalik kelancaran rutin kehidupan seharian, daripada kemudahan lampu di dalam kelas di sekolah sehinggalah ventilator di hospital, di sinilah peranan Tenaga Nasional Bhd (TNB), penyedia utiliti terbesar di Malaysia.

Bulan lepas, TNB mengumumkan keputusan kewangannya bagi suku pertama 2025, mencerminkan permintaan terhadap elektrik yang stabil dan mengekalkan tumpuannya untuk membekalkan tenaga kepada negara dan menyokong pembangunan berteraskan rakyat.

Di sebalik peranannya membekalkan tenaga kepada kediaman dan perniagaan, kekuatan kewangan TNB memainkan peranan penting dalam mengekalkan kestabilan negara, menyokong simpanan jangka panjang dan mempersiap negara untuk masa depan.

TNB membekalkan elektrik kepada lebih 10 juta pelanggan. Bagaimanapun, daya tahan kewangan syarikatlah yang memastikan perkhidmatan tersebut kekal stabil walaupun berdepan gangguan global atau kenaikan kos bahan api.

Daya tahan ini membolehkan TNB menyelenggara dan menaik taraf infrastruktur tenaga, mengurangkan gangguan bekalan dan bertindak pantas dalam situasi krisis seperti banjir atau kegagalan teknikal.

Pelaburan berterusan dalam teknologi grid dan sistem digital bermaksud bekalan elektrik yang lebih dipercayai dan cekap untuk setiap pengguna sama ada di pangsapuri bandar mahupun di klinik luar bandar.

Apa maksudnya untuk rakyat dan negara?

Kedudukan kewangan TNB yang kukuh membolehkannya menyumbang semula melalui kaedah yang nyata — daripada membina semula rumah di kawasan yang terjejas banjir hinggalah memasang bekalan elektrik di kampung yang masih belum menikmati kemudahan tersebut.

Inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) TNB memberi tumpuan kepada penambahbaikan yang ketara dalam empat bidang utama -- pendidikan, sukan, kesejahteraan komuniti dan alam sekitar.

Komitmen jangka panjang untuk pembinaan negara ini dicerminkan dalam pelbagai usaha yang berterusan.

Dalam bidang pendidikan, TNB menawarkan tajaan kepada pelajar, menyokong 50 sekolah angkat melalui program Sekolah Angkat dan membantu kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan membuat persiapan ke sekolah menerusi inisiatif Ceria ke Sekolah.

Sumbangan Wakalah Zakatnya juga telah memberi manfaat kepada ramai golongan asnaf melalui pelbagai inisiatif seperti Projek Baiti Jannati, membaik pulih rumah, menaik taraf masjid dan bantuan berkaitan pendidikan.

Selain itu, TNB turut menyalurkan bantuan bersasar kepada masyarakat Orang Asli dan giat mempromosikan pembangunan sukan negara melalui program hoki.

Bagi ibu bapa seperti Ahmad Fauzi Ahmad Shah, 53, yang anaknya belajar di sebuah sekolah rendah luar bandar di Kuala Selangor, inisiatif pendidikan TNB telah mengubah pengalaman pembelajarannya.

“Sebelum ini, anak perempuan saya terpaksa berkongsi sebuah komputer lama dengan seluruh kelas. Kini, dia boleh membuat kerja rumah secara dalam talian dan meneroka sumber pendidikan dengan bebas.

“Sokongan TNB bukan sekadar menyediakan peralatan, malah ia menunjukkan bahawa mereka mengambil berat mengenai masa depan anak-anak kita,” katanya.

Inisiatif ini bukan sekadar dibiayai melalui amal semata-mata, sebaliknya direalisasikan melalui pelaburan semula pendapatan dan perancangan jangka panjang yang baik.

Aspek yang mungkin kurang dapat dilihat ialah impak kedudukan kewangan TNB terhadap rakyat Malaysia melalui simpanan dan dana persaraan mereka.

Sebahagian TNB dimiliki oleh beberapa syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) utama Malaysia — termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Bhd, Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) — institusi yang menguruskan kekayaan dan keselamatan persaraan lebih 38 juta rakyat Malaysia.

Dividen dan pulangan daripada TNB disalurkan semula kepada dana ini, memberi manfaat secara tidak langsung kepada rakyat melalui pembayaran yang lebih tinggi, bonus atau kekuatan portfolio jangka panjang.

Bagi pesara yang bergantung pada dividen KWSP atau merupakan pemegang akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) demi jaminan masa depan anak-anak, prestasi utiliti nasional seperti TNB turut memberi makna tersendiri dari segi kewangan peribadi.

“Saya bukanlah jenis yang mengikuti (prestasi) pasaran saham setiap hari tetapi saya maklum mengenai bonus dan dividen dalam akaun ASB saya,” kata Noraini Hassan, 42, yang bertugas sebagai pembantu tadbir dan menjadi pemegang akaun ASB bagi tempoh yang lama.

“Menyedari adanya syarikat kukuh seperti TNB ini membolehkan saya berasa tenteram kerana duit saya berada di tangan pihak yang boleh dipercayai.

“Apabila sebuah syarikat besar seperti TNB kekal kukuh, ini membantu kami yang juga kelompok penyimpan kecil bagi jangka panjang. Ini bukan soal untung tetapi lebih kepada jaminan untuk keluarga seperti saya,” katanya.

Pelaburan bertanggungjawab pencetus impak harian

Kestabilan kewangan TNB juga mendorong kepada penambahbaikan langsung untuk manfaat pengguna dan komuniti menerusi pelaburan semula secara bertanggungjawab.

Antara hasilnya ialah pencapaian prestasi Malaysia berkelas dunia dalam Indeks Purata Tempoh Gangguan Sistem (SAIDI), satu penanda aras yang mengukur aspek tempoh secara purata bagi pelanggan mengalami gangguan elektrik dalam tempoh setahun.

Skor atau pemarkahan SAIDI yang rendah memaparkan bekalan tenaga elektrik boleh dipercayai dan Malaysia secara konsisten tersenarai dalam kelompok terbaik di rantau ini.

Kekukuhan itu mampu dicapai menerusi usaha peningkatan berterusan terhadap grid nasional, mengurangkan tempoh gangguan selain memastikan voltan yang konsisten bagi isi rumah, hospital serta industri.

Pelaksanaan meter pintar dan platform tenaga digital juga hanya memperkasakan lagi pengguna untuk memantau dan menguruskan penggunaan tenaga elektrik masing-masing dalam tempoh masa nyata yang menyokong kecekapan tenaga serta penjimatan kos.

TNB juga giat menyokong komuniti luar bandar menerusi Program Elektrifikasi Luar Bandar Kebangsaan yang kini memberi tumpuan kepada 25 kampung di Perak, Pahang dan Johor.

Setakat ini, lima daripada kampung berkenaan berjaya disambungkan kepada grid tenaga elektrik, sekali gus menyalurkan bekalan tenaga boleh dipercayai selain meningkatkan kualiti hidup mereka secara ketara.

Selain itu, inisiatif CSR TNB turut melibatkan usaha membantu komuniti mengurangkan beban tenaga masing-masing dan mengamalkan pendekatan lebih mesra alam, termasuk pemasangan panel solar di beberapa buah masjid di negeri Perak, Pahang, Terengganu, Kedah dan Kelantan.

Bukti komitmen TNB dapat dilihat melalui projek seperti pemasangan sistem solar fotovoltan di Masjid Al-Hijran di Kelantan dan Masjid Al Huda di Terengganu — inisiatif yang memupuk kesedaran alam sekitar sambil membantu komuniti untuk beralih kepada sumber tenaga lebih bersih.

Bersandarkan usaha terus membiayai inovasi, infrastruktur dan teknologi, TNB sedang meletakkan asas bagi masa depan tenaga Malaysia — masa depan lebih bijak, hijau dan berdaya tahan terhadap perubahan.

Membangunkan Malaysia sedia harungi masa depan

Kekukuhan kewangan juga membolehkan TNB menyokong usaha Malaysia ke arah transformasi tenaga bersih dan digital — daripada ladang solar dan prasarana pengecasan kenderaan elektrik kepada program kecekapan tenaga, sekali gus membuktikan kekukuhan utiliti dapat memangkin cita-cita negara dalam ekonomi hijau.

Lebih penting lagi, kemajuan ini turut menyokong penciptaan pekerjaan. Kontraktor, jurutera dan juruteknik tempatan adalah kumpulan yang menjadi sebahagian daripada rantaian nilai dan mengukuhkan lagi kaitan penting antara utiliti yang mantap dan pertumbuhan ekonomi domestik.

Menerusi usaha pembiayaan inovasi, TNB membantu dalam memastikan sistem tenaga Malaysia kekal berdaya saing dan bersedia mengharungi cabaran masa depan.

Ketika Malaysia mendepani landskap ekonomi global yang kian rumit, kekuatan institusi asasnya juga menjadi lebih penting.

Bagi TNB, kekuatan itu bukan sekadar mengenai talian tenaga atau margin keuntungan — ia mengenai kemampuan sebagai kuasa penstabil yang secara diam menyokong pembangunan negara.

Pada akhirnya, TNB yang kukuh akan memastikan Malaysia yang lebih terjamin, saling ketersambungan dan lebih bersedia untuk masa depan.