KUALA LUMPUR: Sebanyak 63 pasukan mengesahkan penyertaan dalam Kejohanan TNB Liga Hoki Remaja Malaysia (TNB MJHL) 2025, mencatat peningkatan berbanding 49 pasukan pada edisi sebelumnya. Kejohanan ini dijadualkan berlangsung dari 7 Julai hingga 23 Ogos dengan 213 perlawanan akan dilangsungkan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Dr Anil Sandhu, menyatakan peningkatan ini disebabkan oleh minat yang semakin tinggi dalam kalangan ibu bapa dan pemain muda. “Pemain dari pelbagai negeri mahu menonjolkan bakat baharu mereka, selain perkembangan program pembangunan di peringkat negeri,“ katanya.
Divisyen 1 melibatkan 10 pasukan lelaki yang akan bersaing di tujuh lokasi, termasuk Stadium Hoki Batu Buruk di Terengganu dan Stadium Hoki Wisma Belia di Kuantan. Manakala Divisyen 2 pula membabitkan 30 pasukan lelaki yang dibahagikan kepada Zon Tengah dan Zon Utara. Bagi kategori perempuan, 23 pasukan akan beraksi di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.