KUALA LUMPUR: Aliran trafik di lebuh raya utama menghala ke Lembah Klang bergerak perlahan setakat 5 petang ini berikutan orang ramai sudah memulakan perjalanan pulang ke ibu negara selepas cuti perayaan Deepavali Khamis lepas.
Menurut jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) E1, trafik bergerak perlahan dari Jawi ke Bandar Baharu, Bukit Merah ke Taiping Utara, Kuala Kangsar ke Terowong Meru dan Simpang Pulai ke Tapah.
“Trafik turut dilaporkan perlahan dari Bidor ke Sungkai kesan kemalangan di Kilometer (KM) 366.7 dan Lembah Beringin ke Bukit Tagar ekoran kemalangan di KM419.3 yang menyebabkan lorong kecemasan terhalang,” katanya ketika dihubungi.
Di PLUS E2, trafik perlahan dari Simpang Ampat ke Pedas Linggi, Senawang ke Port Dickson Utara, Seremban ke Nilai, Putra Mahkota ke Southville City dan selepas Plaza Tol Sungai Besi ke pusat bandar.
“Di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (E8), trafik perlahan dari Karak ke Bentong, Lenteng ke Bukit Tinggi, dan KM29 ke Plaza Tol Gombak,” katanya.
Bagi mengurangkan kesesakan, LLM mengaktifkan 26 laluan lorong pintar di lebuh raya seluruh negara hari ini.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol PLUSLine 1-800-88-0000 dan laman X @plustrafik atau talian LLM 1-800-88-7752 serta laman X @llmtrafik.