SETIU: Seorang tukang masak restoran maut selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan kenderaan utiliti sukan di Kilometer 61 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu.
Kejadian berlaku pada pukul 11.37 pagi berhampiran Kampung Rahmat di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Mohd Zain Mat Dris berkata mangsa, Loh Eng Keat, 61, disahkan maut di lokasi kejadian.
“Mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan,“ katanya dalam kenyataan.
Siasatan awal mendapati Proton X70 dipandu seorang jururawat berusia 36 tahun dari arah Kuala Terengganu menuju ke Kota Bharu.
Motosikal mangsa datang dari arah bertentangan ketika kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan SUV berkenaan,“ katanya.
Pemandu SUV bersama tiga penumpangnya tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Setiu untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama