BATU PAHAT: Barisan Nasional (BN) merancang untuk mengambil semula beberapa kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kini dikuasai oleh Bersatu dan PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pelbagai kajian dan tinjauan akan dijalankan bagi mengenal pasti kerusi-kerusi berpotensi yang boleh dimenangi semula oleh BN, terutamanya Umno.
“Kita akan berusaha bersungguh-sungguh... kerusi itu akan kembali kepada calon Umno pada PRU akan datang,” katanya ketika merasmikan penutupan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Sri Gading di sini.
Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor merangkap Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, serta Ketua Umno Bahagian Sri Gading, Datuk Mohd Lassim Burhan.
Ahmad Zahid, yang juga Presiden Umno, mengingatkan ahli parti agar tidak terpengaruh dengan naratif ‘UMDAP’ yang dimainkan pembangkang. Beliau menegaskan bahawa kerjasama politik yang terbentuk kini adalah antara gabungan BN dan Pakatan Harapan (PH).
“Yang berkawan ialah BN dan PH. Dalam BN ada MCA dan MIC, dalam PH ada DAP, PKR dan Amanah. Jadi, jangan terpedaya dengan propaganda pembangkang yang mahu memecahkan BN dan PH supaya mereka boleh ‘tebuk atap’ semula,” katanya.
Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata kerjasama politik yang terjalin ketika ini perlu difahami semua ahli demi memastikan kestabilan kerajaan terjamin dan Umno dapat kembali menjadi parti dominan.
“Kalau kita mahu menang, tunjukkan kesungguhan. Kita dalam kerajaan, maka kita perlu kerja bersungguh-sungguh. Jangan mahu menang tapi kita tidur, bergaduh sesama sendiri, tikam belakang atau berdiam diri apabila diasak lawan,” katanya.