KUALA LUMPUR: UMNO perlu berada di barisan hadapan dalam menguasai naratif digital serta memperkukuh komunikasi melalui media baharu, selain mendekati anak muda bagi memastikan parti itu terus relevan dalam landskap politik semasa.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata era politik kini bergerak pantas dalam ruang digital, dengan maklumat, persepsi, dan sentimen masyarakat dibentuk melalui media sosial dan platform siber.
“Cabaran baharu ini menuntut pendekatan politik yang lebih segar, fleksibel, dan pragmatik. UMNO tidak boleh terikat dengan cara lama semata-mata,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Zambry, yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) dan Menteri Pendidikan Tinggi, menegaskan bahawa langkah ke arah pembaharuan bukan bermaksud mengorbankan prinsip perjuangan, sebaliknya memperkukuh nilai dan idealisme parti melalui pendekatan lebih berkesan dan inklusif.
Beliau turut menekankan kepentingan perpaduan dalam kalangan ahli sebagai tunjang kekuatan UMNO sejak 79 tahun lalu. “Parti ini tidak akan mampu bertahan sekiranya berlaku perpecahan dalaman,” katanya -Bernama