KUALA LUMPUR: UMS Integration Ltd, syarikat tersenarai di Bursa Singapura (SGX), hari ini melancarkan prospektus bagi penyenaraian sekundernya di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 1 Ogos 2025. Ini menjadikan UMS syarikat pertama tersenarai SGX yang memilih Bursa Malaysia sebagai platform sekunder.
UMS merupakan penyedia penyelesaian kejuruteraan dan pembuatan ketepatan tinggi bersepadu, khusus untuk industri semikonduktor dan aeroangkasa. Syarikat ini menawarkan perkhidmatan pemesinan kompleks, fabrikasi logam, rawatan permukaan, serta pemasangan modul. Dengan permodalan pasaran sekitar S$970 juta (RM3.2 bilion), UMS berhasrat memperluas pangkalan pelabur melalui penyenaraian ini.
Ketua Pegawai Eksekutif UMS, Luong Andy, menyatakan bahawa langkah ini sejajar dengan strategi pertumbuhan jangka panjang syarikat. “Bursa Malaysia adalah platform strategik untuk mengembangkan akses kepada pasaran ekuiti yang berbeza. Ini juga menyokong operasi utama kami di Pulau Pinang bagi memenuhi permintaan pelanggan semikonduktor,“ katanya dalam sidang media pelancaran prospektus.
UMS kini mengendalikan lebih satu juta kaki persegi ruang pembuatan di Singapura dan Malaysia. Andy menekankan bahawa syarikat akan terus mengukuhkan kedudukannya dalam rantaian nilai semikonduktor dan aeroangkasa. “Kami melihat potensi besar dalam pembuatan komponen berketepatan tinggi untuk pembungkusan semikonduktor termaju, yang penting bagi kecerdasan buatan dan pengkomputeran berprestasi tinggi,“ jelasnya.
Penyenaraian sekunder ini melibatkan 10 juta saham sedia ada tanpa terbitan baharu. Saham UMS boleh didagangkan secara fleksibel antara SGX dan Bursa Malaysia. TA Securities Holdings Bhd dan CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd dilantik sebagai penasihat utama dan kewangan bagi proses ini.