• 2025-09-08 03:53 PM

LABUAN: Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperkasa pelancongan pendidikan atau edutourism digital sebagai inisiatif penting dengan menggabungkan pembelajaran akademik, teknologi dan pengalaman dunia nyata.

Program ini mengintegrasikan realiti maya (VR), realiti terimbuh (AR), Internet benda (IoT) dan kecerdasan buatan (AI) untuk memberi peluang interaktif kepada pelajar.

Ahli Parlimen Labuan Datuk Dr Suhaili Abd Rahman berkata usaha itu membolehkan pelajar menghubungkan pengetahuan akademik dengan pengalaman dunia sebenar.

“Sebagai Ahli Parlimen, saya menyokong sepenuhnya inisiatif yang mampu membentuk generasi celik digital, kreatif dan berdaya saing,” katanya.

Naib Canselor UMS Prof. Datuk Dr Kasim Mansor berkata edutourism bukan sekadar aktiviti luar bilik darjah tetapi menjadi penghubung antara pengetahuan akademik dan pengalaman dunia sebenar.

“Program ini memberi peluang kepada pelajar mengaitkan teori dengan amali, selain menghargai warisan khazanah tempatan,” katanya.

Beliau menekankan bahawa dengan peralatan digital seperti VR, AR dan AI, pelajar tidak lagi terikat dengan masa dan tempat.

Dekan Fakulti Komputeran dan Informatik Prof Madya Dr Mohd Hanafi Ahmad Hijazi menegaskan edutourism merupakan platform penting untuk menghubungkan pendidikan, teknologi dan komuniti.

“FKI menyediakan kepakaran digital, bimbingan akademik dan peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan pengetahuan mereka dalam konteks sebenar,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Universiti Esa Unggul Indonesia, Exness Investment Bank Limited dan Kementerian Digital atas sokongan mereka.

Program itu turut dihadiri peserta dari Sarawak, Indonesia, dan Brunei sekali gus mencerminkan komitmen serantau yang kukuh.

Hanafi berkata program tersebut diharapkan dapat membuka jalan kepada kerjasama lebih erat antara fakulti, kementerian, industri dan komuniti.

“Menerusi sinergi antara kepakaran akedemik dan inovasi digital ini, saya yakin Malaysia mampu menjadi peneraju dalam edutourism digital di rantau ini,” katanya. – Bernama