MELAKA: Usaha kerajaan memperkukuh keselamatan siber negara menerusi Belanjawan 2026 merupakan langkah tepat yang dapat membantu meningkatkan kesedaran awam.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata Melaka sebagai negeri pertama yang menubuhkan Jawatankuasa Khas Jenayah Siber pada 2024 amat menyambut baik tumpuan yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan.
Beliau menegaskan bahawa usaha ini bukan hanya bergantung kepada peruntukan semata-mata.
“Kalau bajet besar sekali pun tetapi kesedaran rakyat masih rendah, kita bimbang kes jenayah siber akan terus meningkat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kita MADANI x Program MADANI Rakyat Peringkat Negeri Melaka di Dataran Klebang.
Fairul Nizam berkata jumlah kerugian akibat jenayah siber di Melaka setakat ini dianggarkan mencecah 70 juta ringgit.
Kerajaan negeri kekal komited untuk melaksanakan kempen kesedaran bagi meningkatkan kewaspadaan rakyat terhadap ancaman siber.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengumumkan Rang Undang-Undang Jenayah Siber akan digubal bagi menangani jenayah siber dengan lebih menyeluruh.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Agensi Keselamatan Siber Negara akan menubuhkan Pusat Pembangunan Keselamatan Siber dan Kriptologi.
Pusat Respons Penipuan Kebangsaan yang dikemudi secara langsung oleh Polis Diraja Malaysia diperuntukkan 12 juta ringgit.
Peruntukan ini bertujuan agar pengendalian kes penipuan kewangan lebih pantas dan cekap. – Bernama