GEORGE TOWN: Universiti Sains Malaysia (USM) menyediakan pelbagai bentuk sumbangan bagi meringankan beban kewangan pelajar baharu tidak berkemampuan menyambung pengajian di universiti berkenaan.
Naib Canselor USM Prof Datuk Seri Ir Dr Abdul Rahman Mohamed berkata ia bagi menyokong hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melahirkan ramai bakat terbaik negara.
“Antara bantuan yang disediakan adalah kesediaan menerima pelajar mendaftar di USM tanpa sebarang bayaran melalui Program Pembangunan Siswa Sulung (SULUNG) 3.0.
“Pelajar lain yang tidak berkemampuan turut diberi peluang untuk mendaftar dahulu tanpa sebarang bayaran dan dengan kemudahan bayaran yuran secara ansuran mengikut kemampuan masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam masa sama, beliau berkata USM juga akan menyalurkan bantuan lain menggunakan tabung kebajikan pelajar, tabung zakat USM dan sebagainya.
Abdul Rahman berkata jika ada mana-mana pelajar yang berada dalam kesusahan dan kebuntuan mencari sumber kewangan untuk menyambung pengajian ke USM, mereka diminta segera menghubungi Unit Kebajikan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) bagi membolehkan bantuan awal disalurkan.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir yang meminta semua pentadbir universiti menerima masuk pelajar miskin dan daif serta menangguhkan kutipan yuran pendaftaran daripada penuntut berkenaan.
Zambry juga meminta universiti-universiti menguruskan bantuan awal pengajian melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi pelajar yang tidak berkemampuan.
Beliau berkata setiap mahasiswa yang ditawarkan tempat ke universiti tidak sepatutnya melepaskan peluang meneruskan pendidikan hanya kerana masalah kewangan.