• 2025-08-18 01:24 PM

MIRI: Pembinaan viaduct Bukit Song sepanjang 300 meter di bawah Pakej WPC 11, Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dijangka siap lebih awal daripada jadual yang ditetapkan.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata tinjauan semalam mendapati keadaan tanah tidak sesuai untuk tambakan, menyebabkan kelewatan kecil dalam projek keseluruhan.

“Namun begitu, pembinaan viaduct ini yang sepatutnya dijadualkan siap pada Oktober, dijangka disempurnakan bulan depan,” katanya dalam catatan Facebook.

Beliau menegaskan penyiapan viaduct ini akan melengkapkan pembinaan lebuh raya sepenuhnya untuk kegunaan rakyat Sarawak.

Pakej WPC 11 merupakan pakej terakhir daripada 11 pakej pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak.

Nanta turut meninjau kerja naik taraf jalan sepanjang 4.2 kilometer dan penukaran paip baharu oleh Sarawak Water Sdn. Bhd.

“Walaupun terdapat sedikit kelewatan, kerja tambahan ini wajar dilakukan bagi memastikan bekalan air di Bandaraya Miri tidak terjejas,” katanya.

Beliau menambah Kementerian Kerja Raya akan memastikan pemantauan rapi dilakukan supaya projek berjalan lancar mengikut jadual.

Kerja penukaran paip dilaksanakan selepas berlakunya paip pecah sebelum pembinaan bermula bagi mengelakkan kerosakan jalan pada masa depan. – Bernama