• 2025-07-06 09:11 PM

KUANTAN: Istana Pahang menegaskan bahawa video menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang memaparkan wajah menyerupai Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menawarkan bantuan kepada rakyat adalah palsu.

Video tersebut disebarkan melalui beberapa akaun di TikTok dan dikesan sebagai cubaan penipuan.

Menurut kenyataan rasmi di laman Facebook Kesultanan Pahang, imej Al-Sultan Abdullah telah disalahgunakan untuk memperdaya orang ramai.

Istana menasihati orang awam agar tidak menyebarkan video berkenaan, tidak mempercayai sebarang pautan atau maklumat dalam video itu, dan melaporkan sebarang kandungan mencurigakan kepada pihak berkuasa.

Istana turut menekankan bahawa Al-Sultan Abdullah tidak mempunyai sebarang akaun media sosial peribadi.

Segala aktiviti atau titah rasmi hanya disiarkan melalui platform media sosial rasmi Kesultanan Pahang di Facebook, yang mempunyai lebih 725,000 pengikut.

Platform lain seperti Instagram, TikTok, YouTube, Threads, dan X hanya menggunakan nama Kesultanan Pahang secara rasmi, manakala portal rasmi Istana Pahang ialah istanapahang.my. – Bernama