JOHOR BAHRU: Seorang ejen insurans wanita memandu kereta Mini Cooper terbabas dan melanggar lima kenderaan lain selepas tertekan pedal minyak di Taman Pelangi pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat mengesahkan kejadian berlaku pada 9.14 pagi ketika wanita berumur 49 tahun itu memandu dari arah Jalan Pingai.
Beliau menjelaskan wanita tersebut tersilap menekan pedal minyak ketika menghampiri persimpangan Jalan Kuning sehingga menyebabkan kenderaannya terbabas.
“Kereta Mini Cooper itu kemudian melanggar lima kenderaan lain yang sedang diletakkan di lot kedai berhampiran,” katanya dalam kenyataan rasmi.
Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam insiden tersebut menurut siasatan awal polis.
Pihak polis juga mengesahkan wanita pemandu itu negatif daripada pengaruh alkohol ketika kejadian berlaku.
Kes ini sedang disiasat mengikut Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan 10 (1) LN 166/59 untuk tindakan selanjutnya.
Sebuah video berdurasi satu minit telah tular di media sosial menunjukkan kereta Mini Cooper berada di atas sebuah kenderaan lain dengan beberapa kenderaan rosak teruk.
Saksi kejadian menyatakan mereka terkejut menyaksikan detik cemas itu yang memperlihatkan kenderaan seolah-olah “terbang” sebelum terbabas.
Peniaga pisang goreng R. William berkata dia melihat kereta itu dipandu laju dari arah Jalan Pingai sebelum tiba-tiba terbabas.
“Saya terdengar bunyi dentuman yang kuat akibat perlanggaran itu yang merosakkan beberapa kenderaan yang diparkir,” katanya kepada Bernama.
William menambah keadaan mungkin lebih buruk jika kedai makan di kawasan itu sudah beroperasi ketika kejadian berlaku.
Proses mengalihkan kenderaan terlibat telah selesai kira-kira pukul 10.30 pagi dengan bantuan pihak berkuasa.
Pekerja swasta Samantha Ooi mengaku tergamam melihat kejadian itu tetapi bersyukur tiada kecederaan serius dilaporkan.
Tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati serpihan kaca kenderaan berselerakan di sepanjang laluan tersebut. – Bernama