KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga emas cedera di kepala selepas jatuh tertiarap akibat diragut dalam kejadian di Jalan Limau Manis, Bangsar di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Ku Mashariman Ku Mahmood berkata dalam kejadian pada 6.34 pagi itu mangsa yang berumur 78 tahun mengalami pendarahan serius dan sedang menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya.

“Ketika kejadian mangsa dipercayai dalam perjalanan untuk membeli surat khabar dan ia adalah rutin hariannya setiap pagi.

“Difahamkan tiada barang berharga di dalam beg itu yang diragut oleh seorang lelaki menaiki motosikal,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ku Mashariman berkata kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular satu klip video berdurasi 2 minit 45 saat di sosial media yang memaparkan kejadian berkenaan.