TANGKAK: Seorang wanita warga emas mengalami kerugian besar RM695,375 selepas diperdaya dalam skim pelaburan saham secara dalam talian.
Ketua Polis Daerah Tangkak Supt Roslan Mohd Talib mengesahkan kejadian itu berlaku awal bulan lepas.
Mangsa berusia 60 tahun itu mula tertarik dengan tawaran pelaburan selepas melayari laman Facebook.
Beliau kemudian berhubung dengan suspek melalui WhatsApp dan dimuat turun aplikasi pelaburan bernama “DESG”.
“Mangsa yang tertarik dengan tawaran 100 peratus keuntungan itu telah melakukan 16 transaksi ke empat akaun keldai bermula 2 Julai hingga Selasa lepas berjumlah RM695,375.
“Bagaimanapun, dia menyedari telah ditipu dan bertindak membuat laporan polis hari ini,“ jelas Roslan.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan berkaitan penipuan. - Bernama