• 2025-07-15 10:11 AM

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga asing berusia 21 tahun ditahan polis selepas disyaki mencederakan bekas teman wanitanya menggunakan pisau di sebuah universiti swasta di Subang Jaya, Selangor. Kejadian itu dilaporkan berlaku petang tadi.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Wan Azlan Wan Mamat, berkata polis menerima laporan kira-kira pukul 6.30 petang dan suspek berjaya ditahan tidak lama kemudian. Mangsa, seorang wanita warga asing berusia 20 tahun, mengalami kecederaan di bahagian leher sebelah kiri.

“Mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan ditempatkan di zon merah untuk rawatan lanjut. Keadaannya kini stabil,“ jelas Wan Azlan dalam kenyataan hari ini.

Motif kejadian masih dalam siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat esok. Kedua-dua suspek dan mangsa merupakan pelajar di universiti berkenaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-78627100 atau Insp Fadizah Ajamin di 019-8582166. Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan. - Bernama