• 2025-07-21 10:24 AM

IPOH: Seorang lelaki warga emas berusia 73 tahun mengalami kerugian sebanyak RM158,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan telefon yang menyamar sebagai wakil syarikat insurans dan anggota polis.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, mangsa mula-mula menerima panggilan daripada individu yang mendakwa mewakili syarikat insurans, mendakwa mangsa mempunyai tunggakan bayaran.

“Mangsa kemudiannya disambungkan kepada seorang lagi individu yang mendakwa sebagai anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya. Mangsa diberitahu kononnya terlibat dalam kes pengubahan wang haram bernilai lebih RM2 juta dan waran tangkap telah dikeluarkan,“ katanya dalam kenyataan.

Menurut Abang Zainal Abidin, mangsa yang panik kemudian diugut dan diarahkan untuk membuat 12 transaksi ke dalam 12 akaun bank berbeza sebagai jaminan diri dan untuk siasatan dalaman.

“Mangsa akhirnya sedar telah ditipu dan membuat laporan polis semalam. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana penipuan,“ jelasnya.

Beliau menambah bahawa pihak polis sedang mengesan pemilik akaun bank dan semua suspek yang dipercayai terlibat dalam sindiket penipuan ini - Bernama