“HALIZA HASHIM, TV3...London.” Begitulah penutup ikonik yang menjadi tanda pengenalan koresponden berita TV3, Haliza Hashim, selama lebih 30 tahun menghubungkan penonton Malaysia dengan peristiwa-peristiwa besar di Eropah.
Di era teknologi semakin maju, wanita berusia 60 tahun ini menggalas tugas sebagai wartawan solo yang serba boleh merangkap jurukamera, menemuramah, merakam suara latar, penulis skrip, editor, dan penyampai untuk dijadikan laporan yang lengkap serta cukup menarik.
“Lebih tiga dekad, bagai tidak percaya, saya masih berdiri di sini, masih melaporkan. Selagi syarikat televisyen memerlukan, saya akan berada dan bersara di sini,” katanya ketika ditemui Bernama di London, baru-baru ini.
Menceritakan perjalanan kariernya, graduan ekonomi Cardiff University itu berkata ia bermula di Bilik Berita TV3, Jalan Liku, Bangsar, Kuala Lumpur pada awal 1990-an sebagai wartawan penyiaran untuk segmen berita dan program Money Matters dari Februari 1991 hingga Januari 1993 sebelum mengambil keputusan berani menjadi koresponden di London.
“Saya bermula dengan menyertai beberapa persatuan media antarabangsa, memperkenalkan diri kepada jabatan dan agensi kerajaan Malaysia di London serta membina rangkaian dengan kementerian utama di sini. Mengejar deadline dan halangan bahasa di negara Eropah antara cabaran besar yang dihadapi.
“Pada 90-an, saya mengupah jurukamera luar, menyewa studio suntingan, menghantar visual menggunakan satelit dan menghantar teks laporan melalui faks ke bilik berita. Jika difikirkan memang beruntung wartawan pada zaman kini, boleh menulis skrip dan merakam visual dengan telefon pintar.”
Haliza berkata seiring perkembangan teknologi, bermula 2013 beliau menggunakan video kamera berkualiti penyiaran untuk merakam visual dan temu ramah, menyunting video menggunakan aplikasi di komputer riba serta menghantar berita menggunakan sistem terkini terus ke editor di bilik berita.
“Sebagai wartawan solo, kadang kala saya rindukan keakraban bersama rakan kerja, kru dan suasana bilik berita. Namun, kelebihan tugasan secara solo membolehkan saya bergerak dengan lebih mudah, pantas dan menjimatkan kos,” kata ibu kepada dua cahaya mata berusia 30 dan 26 tahun.
Liputan Haliza meliputi pelbagai peristiwa bersejarah, antaranya tragedi MH17 di Ukraine, sidang kemuncak seperti G8 dan G20, pengeboman London 7/7, kebakaran Grenfell Tower, serangan bom di Paris, sambutan Jubli Platinum Ratu Elizabeth II, pertabalan Raja Charles III dan tidak ketinggalan kisah diaspora Malaysia hingga lawatan rasmi pemimpin negara ini di UK atau Eropah.
Beliau juga berpeluang menemu bual tokoh tersohor seperti dua Perdana Menteri UK sebelum ini, iaitu Margaret Thatcher dan Tony Blair, Jacques Chirac (bekas Presiden Perancis) selain Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Di sebalik kesibukan sebagai wartawan, Haliza juga aktif dalam kerja-kerja kemanusiaan sebagai Pengerusi MERCY Humanitarian UK dari 2015 hingga 2024, terlibat misi bantuan ke Lubnan, Bangladesh, dan Maghribi sambil menghasilkan laporan khas dari kawasan bencana selain merintis inisiatif Talian Kasih MERCY, sebuah platform sokongan kesihatan mental rakyat Malaysia di UK dan Eropah.
Ketika pandemik COVID-19, usahanya mengagihkan ribuan unit set peralatan perlindungan diri (PPE) kepada pusat-pusat kesihatan di UK mendapat pengiktirafan melalui Anugerah Golden Hearts dan beliau juga menerima pingat Ahli Mangku Negara (AMN) daripada Yang di-Pertuan Agong pada 2023.
Selain itu, Haliza turut berkongsi pengetahuannya di pelbagai bengkel kewartawanan, ceramah awam, dan sesi mentor pelajar universiti di Malaysia dan di UK menjadikan beliau bukan sahaja wartawan berkaliber, tetapi juga pembimbing kepada generasi baharu wartawan.
Lebih membanggakan, Haliza dilantik sebagai Profesor Adjung di Universiti Malaysia selama dua tahun bermula bulan ini dan kini giat menulis sebuah memoir yang merakamkan pengalaman peribadi, kisah di sebalik tabir laporan serta refleksi jujur mengenai dunia media yang semakin dinamik dan kompleks.
Ditanya mengenai sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) pada setiap 29 Mei, Haliza berkata ia menunjukkan pengorbanan pengamal media di Malaysia terutama yang bekerja di belakang tabir dan situasi mencabar dihargai dan diiktiraf.
“HAWANA bermakna pengamal media dihargai setiap tahun dan bukan ‘one off event’ kerana mereka bekerja keras mengejar deadline untuk menyampaikan berita dan maklumat tepat kepada orang ramai,“ katanya.
Sambutan HAWANA 2025 yang bertemakan Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika berlangsung selama tiga hari sejak semalam dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan merasmikan majlis kemuncak hari ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).