JAGUH renang negara Khiew Hoe Yean melakar sejarah tersendiri apabila merangkul pingat perak dalam acara 400 meter gaya bebas lelaki pada Sukan Universiti Dunia (WUG) 2025 di Berlin, malam ini (awal pagi Jumaat waktu Malaysia).
Dalam aksi akhir mendebarkan di Schwimm-und Sprunghalle im Europasportpark, Hoe Yean meleburkan rekod kebangsaan miliknya sendiri dengan catatan 3 minit 47.38 saat (s), mengatasi rekod lama 3:48.36s sekali gus menghadiahkan pingat pertama buat kontinjen negara pada edisi kali ini.
Perenang berusia 22 tahun itu mempamerkan aksi bertenaga pada 50 meter terakhir untuk memintas perenang Amerika Syarikat Ryan James Erisman Jr yang terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa selepas mencatat masa 3:47.52s.
Pingat emas milik Nikolai Kolesnikov yang mewakili Atlet Neutral Individu dengan catatan 3:46.66s.
Kejayaan itu sekali gus menamatkan kemarau pingat Malaysia selama 34 tahun dalam acara renang di WUG yang kali terakhir disumbangkan Jeffrey Ong menerusi pingat perak 1,500m gaya bebas lelaki pada temasya 1991 di Sheffield.
Hoe Yean menyifatkan pingat perak itu sebagai satu pencapaian besar dan pengubat kekecewaan selepas gagal mara ke peringkat akhir dalam acara sama pada edisi lepas di Chengdu, China.
“Ia sungguh hebat. Selepas terlepas peluang ke final tiga tahun lepas, kini berdiri di atas podium satu pencapaian besar dan pengubat kekecewaan buat saya.
“Saya sangat gembira, ini catatan (peribadi terbaik) dan juga rekod kebangsaan. Saya teruja untuk menghadapi aksi esok dan hari-hari seterusnya,” kata pemenang dua pingat emas Sukan SEA itu.
Hoe Yean dijadual meneruskan kempen dalam acara 200m gaya bebas lelaki esok, diikuti 200m kuak lentang pada Selasa depan - BERNAMA