• 2025-07-27 07:32 PM

RAUB: Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa setiap keputusan parti diambil demi menjamin kestabilan dan masa depan negara, walaupun ia mungkin tidak popular.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Raub.

“Dalam perjuangan, tidak semua keputusan selesa, tetapi ia mesti berprinsip. Setinggi mana pun jawatan kita, ia adalah amanah yang perlu dipikul dengan tanggungjawab,“ katanya.

Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Barisan Nasional dan Timbalan Perdana Menteri, menyeru ahli UMNO supaya bersatu dan tidak mudah goyah apabila diuji.

Beliau mengingatkan agar kekalahan dalam dua pilihan raya umum sebelum ini dijadikan pengajaran untuk membina semula kekuatan parti.

“Kita sudah diuji dua kali dalam PRU. Cukuplah berpecah, bergaduh, dan ‘tembak sama sendiri’. Belajarlah daripada kelemahan lalu, betulkan ‘rumah tangga’ UMNO dan BN,“ katanya.

Dalam sidang media, Ahmad Zahid menyatakan UMNO akan meneliti penyertaan ahli parti dalam perhimpunan di Kuala Lumpur semalam.

“UMNO kini dalam Kerajaan MADANI, dan kita perlu mengukuh, bukan meruntuh kerajaan sedia ada,“ tegasnya. – Bernama