• 2025-10-08 09:20 PM

KOTA KINABALU: Seorang saksi kanak-kanak memberitahu Mahkamah Koroner di sini bahawa dia melihat Zara Qairina dalam keadaan diam, muram, tidak bercakap dan bersendirian pada petang sehari sebelum remaja itu ditemukan tidak sedarkan diri.

Peguam Joan Goh, yang mewakili seorang daripada remaja terbabit dalam kes buli Zara Qairina, berkata saksi memaklumkan bahawa dia ada melihat Zara Qairina di bilik asrama sekitar 4 petang pada 15 Julai lepas.

Berkongsi keterangan saksi kanak-kanak kesembilan itu selepas prosiding inkues, Goh berkata saksi memberitahu bahawa dia tidak melihat bagaimana keadaan Zara Qairina sewaktu prep malam kerana dia berada dalam kelas berlainan.

“Kata saksi, dia tidak menegur Zara Qairina kerana Zara Qairina ‘bad mood’ dan saksi takut dimarah,“ katanya ketika berkongsi keterangan saksi itu kepada pemberita selepas prosiding inkues yang memasuki hari ke-19.

Menurut Goh saksi juga memaklumkan mahkamah bahawa dia ada melihat Zara Qairina pergi ke bilik sebelah berjumpa dengan pelajar senior, namun tidak mengetahui sebabnya sebelum dimaklumkan mengenai kehilangan barang.

Peguam itu berkata saksi bersama rakan-rakan lain memeriksa barang milik Zara Qairina selepas mendapat tahu ada pelajar kehilangan barang dan kemudian menemui pin bendera dengan nama pelajar lain.

Saksi turut memberitahu sekitar 11 malam, Zara Qairina pulang ke bilik dengan wajah marah, menutup loker, lalu baring di lantai sambil menangis serta menjerit menafikan dia mencuri.

“Kata saksi, selepas lampu asrama ditutup, Zara Qairina dilihat duduk di depan almari sebelum meminta untuk meminjam gunting daripada beberapa pelajar termasuk saksi, tetapi tidak berjaya mendapatkannya.

Menurut saksi, tidak lama kemudian, Zara Qairina keluar dari dorm dan saksi tidak tahu apa berlaku selepas itu kerana terus tidur,“ katanya.

Goh berkata saksi tahu Zara Qairina mempunyai satu diari kerana pernah melihat rakan sebiliknya itu menulis diari di dalam bilik asrama.

Saksi turut mengakui pernah membaca diari milik Zara Qairina sekali sahaja dengan izinnya.

Beliau berkata saksi menyatakan Zara Qairina menulis mengenai kerinduan dengan kawan-kawan lamanya di sekolah rendah namun saksi tidak ingat nama kawan-kawan remaja itu.

Goh berkata menurut saksi, setahu dia Zara Qairina akan menulis diarinya ketika ‘stress’ berdasarkan perlakuan rakan sebiliknya itu yang menulis diari dalam keadaan laju.

Sementara itu, peguam Mohd Syahrulnizam Mohd Salleh, yang mewakili ibu Zara Qairina ketika berkongsi keterangan saksi kanak-kanak kelapan, berkata saksi tersebut memberitahu bahawa dalam semua almari di bilik Zara Qairina, hanya loker remaja itu sahaja yang rosak dan tidak boleh dikunci.

Menceritakan pemeriksaan mengejut atau ‘spotcheck’ loker Zara Qairina pada malam 15 Julai, Mohd Syahrulzinam berkata menurut saksi, dia tidak terlibat dalam ‘spotcheck’ itu, namun memberitahu ia mengambil masa kira-kira 15 minit bagi mencari barang pelajar yang dikatakan hilang.

Peguam itu berkata saksi turut memberitahu semasa Zara Qairina menangis, tidak ada ahli bilik yang memujuk atau menenangkan remaja tersebut kerana ada pelajar lain mengatakan ‘Kasi biar dulu dia, kasi tenang dulu’.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada 4 pagi 16 Julai.

Prosiding inkues di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan bersambung esok. – Bernama