• 2025-07-15 10:24 AM

KYIV: Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky mengumumkan pelantikan Yulia Svyrydenko sebagai Perdana Menteri baharu bagi memimpin kerajaan di Kyiv. Pengumuman ini dibuat menerusi hantaran media sosial beliau yang menyatakan cadangan supaya Svyrydenko mengetuai pentadbiran baharu.

Zelensky berkata, “Kami membincangkan langkah konkrit untuk meningkatkan potensi ekonomi Ukraine, memperluas program sokongan untuk rakyat Ukraine dan memperhebat pengeluaran senjata dalam negara.” Beliau menekankan bahawa transformasi cabang eksekutif sedang dilaksanakan bagi mencapai matlamat tersebut.

Svyrydenko, yang dilahirkan pada 1985 di wilayah Chernihiv, mempunyai latar belakang dalam bidang ekonomi dan perdagangan. Beliau memulakan kerjaya dalam politik tempatan sebelum menyertai kerajaan selepas kemenangan Zelensky pada 2019. Sejak itu, beliau memegang pelbagai jawatan penting termasuk Timbalan Menteri Ekonomi, Timbalan Ketua Pejabat Presiden, dan akhirnya Menteri Ekonomi serta Timbalan Perdana Menteri.

Sejak bermulanya perang dengan Rusia, Svyrydenko memainkan peranan penting dalam mendapatkan bantuan dan pinjaman antarabangsa untuk Ukraine. Pelantikannya sebagai Perdana Menteri dijangka membawa perubahan dalam dasar ekonomi dan pertahanan negara.

Perdana Menteri sebelumnya, Denys Shmyhal, yang dilantik pada 2020 sebelum pencerobohan Rusia, dilihat semakin kurang berpengaruh dalam beberapa minggu kebelakangan ini. Spekulasi juga timbul bahawa Menteri Pertahanan Rustem Umyerov mungkin dilantik sebagai duta Ukraine ke Amerika Syarikat, susulan ketidakpuasan Presiden AS Donald Trump terhadap penyandang jawatan semasa. - Bernama