KUANTAN: Lapan projek tebatan banjir akan dilaksanakan di beberapa lokasi di Pahang bagi mengatasi masalah banjir yang berlaku saban tahun, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (gambar).

Beliau berkata inisiatif itu melibatkan peruntukan daripada kerajaan Persekutuan berjumlah RM212.31 juta bagi rancangan tebatan banjir di Sungai Bentong di Jerantut, Sungai Temai dan Sungai Ketapang (Pekan) serta Sungai Kenau di Sungai Lembing (Kuantan) yang dijadualkan bermula akhir tahun ini secara reka dan bina.

Menurutnya lima lagi projek melibatkan peruntukan daripada kerajaan negeri berjumlah RM4.3 juta iaitu rancangan tebatan banjir Sungai Ikan di Cameron Highlands, Sungai Gemeti (Bentong), Sungai Damak (Jerantut), Sungai Telang (Lipis) dan Sungai Chengal (Temerloh).

“Bagi tujuan pengurusan lembangan sungai di Pahang, sebanyak RM1.93 juta diperuntukkan untuk projek itu pada 2024 yang juga akan dilaksanakan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri,“ katanya di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Wan Rosdy yang berkata demikian semasa membentangkan Belanjawan Pahang 2024 dengan tema ‘Pahang Prihatin, Rakyat Makmur’, juga memaklumkan pelaksanaan 16 projek Pengurusan Kolam Takungan Negeri Pahang dengan peruntukan RM1.5 juta.

Bagi program pascabanjir Pahang tahun depan, Wan Rosdy berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM30 juta untuk pembinaan empat pusat penempatan tetap (PPT) di daerah Kuantan, Pekan, Lipis dan Temerloh, selepas pembinaan PPT pertama di Luit, Maran pada 22 Nov lepas.

Pada perkembangan berkaitan, Wan Rosdy berkata kerajaan negeri juga memperuntukkan RM10 juta kepada Kumpulan Wang Amanah Malapetaka Negeri Pahang, meningkat 31.5 peratus daripada 7.6 juta pada tahun ini.

Beliau berkata tumpuan kepada tujuh langkah utama meningkatkan perkhidmatan bekalan air juga dititikberatkan, antaranya bagi mengatasi masalah putus bekalan, tekanan air rendah, kekerapan paip pecah dan kekeruhan air dengan RM129.3 juta diperuntukan pada 2024.

Kerajaan negeri, katanya akan melaksanakan Projek Bekalan Air dengan melibatkan 229 projek, manakala bagi mengatasi masalah putus bekalan dan tekanan air rendah sebanyak 79 bilangan projek telah disenaraikan antaranya di Kampung Temai di Pekan, Pekan Awah (Maran), Felda Sungai Retang (Jerantut), Carnation Park dan Tringkap Puncak (Cameron Highlands).

Beliau turut memaklumkan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) telah menyiapkan 226 projek dengan peruntukan RM275.1 juta dalam tempoh lima tahun bermula 2018, manakala 37 projek dengan kos keseluruhan RM465 juta sedang dilaksanakan. -Bernama