PUTRAJAYA: Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin (gambar) dilantik sebagai Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang baharu, berkuat kuasa hari ini.
APMM dalam kenyataan hari ini berkata pelantikan Hamid, 59, yang sebelum ini Timbalan Ketua Pengarah APMM (Operasi), adalah bagi menggantikan Datuk Mohd Zubil Mat Som yang bersara wajib Mac lepas.
Menurut APMM Hamid pernah berkhidmat dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selama 23 tahun sebelum diserapkan ke APMM sebagai pegawai perintis pada 31 Oktober 2005.
Beliau sebelum ini pernah memegang pelbagai jawatan termasuk Ketua Staf Bahagian Penguatkuasaan Maritim di Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), dan dilantik menjadi Pengarah di Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan APMM pada 2021, sebelum menjadi timbalan ketua pengarah Mac lepas.
“Beliau memiliki pengalaman luas dalam pelaksanaan operasi maritim di perairan negara, termasuk Selat Melaka dan Sabah serta Sarawak dalam menjaga keselamatan negara daripada pelbagai ancaman khasnya jenayah rentas sempadan,“ menurut kenyaaan itu.
Menurut APMM, Hamid mencapai banyak kejayaan melalui penahanan dan pendakwaan kes berprofil tinggi seperti penyeludupan dan pemerdagangan manusia, minyak, kontraban dan barangan kawalan yang melanggar undang-undang negara.
“Beliau diyakini akan meningkatkan keupayaan aset dan kompetensi warga APMM melalui aspek penguatkuasaan dan carilamat di samping memperkukuhkan kerjasama strategik dengan agensi-agensi tempatan dan luar negara,” kata APMM. -Bernama