KUALA LUMPUR: Kejayaan pemain skuasy wanita negara S. Sivasangari menjuarai Kejohanan Skuasy Klasik London adalah bukti bahawa kejayaan mampu dilakar dengan azam dan semangat kesukanan yang kuat, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Menerusi hantaran di Facebooknya hari ini Timbalan Perdana Menteri berkata kejayaan permata baharu skuasy negara itu amat membanggakan, selain mengangkat nama Malaysia di persada dunia.
“Syabas dan tahniah buat Sivasangari kerana beliau berjaya menakluk Kejohanan Skuasy Klasik London. Anda membuatkan kami semua, seluruh rakyat Malaysia merasa bangga!
“All the best to you dan saya harap anda terus konsisten, seterusnya menjadi pemain terbaik dunia,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Ahmad Zahid turut kagum dengan perjalanan Sivasangari dalam kejohanan berkenaan yang menyaksikan atlet itu terpaksa bertemu pemain nombor satu dunia Nour El Sherbini di suku akhir dan mengecewakan pemain ranking keempat dunia, Nele Gliss dari Belgium pada separuh akhir.
Sivasangari melakar sejarah tersendiri selepas muncul juara edisi sulung Kejohanan Skuasy Klasik London, dengan menyingkirkan pemain ranking kedua dunia Hania El Hammamy dari Mesir, di pentas final pada Isnin.
Kemenangan itu merupakan yang kedua buat Sivasangari ke atas El Hammamy sepanjang enam pertemuan sebelum ini.
Kejayaan ke final kejohanan bertaraf emas itu juga menyamai rekod yang pernah dicatatkan bekas ratu skuasy negara Datuk Nicol David pada 2015. -Bernama