Your Title

JASIN: Kemudahan dan fasiliti di pulau-pulau dalam Taman Laut Melaka akan dinaik taraf secara berfasa bagi memberi keselesaan kepada pelancong yang berkunjung di situ.

Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Zaidi Attan berkata antara kemudahan itu ialah pembinaan jeti di Pulau Nangka dan Pulau Dodol selain kemudahan tandas di Pulau Undan yang menjadi tumpuan bagi aktivti air.

“Kita turut dimaklumkan peruntukan bagi membina tandas di Pulau Undan dan Pulau Nangka telah diluluskan dan ini akan melengkapkan kemudahan asas terutama kepada pelancong yang datang untuk aktiviti selam snorkel dan skuba di situ.

“Cuma di pulau-pulau berkenaan tiada kemudahan penginapan namun pelancong yang datang ke Melaka boleh menginap hotel di Pulau Besar berhampiran dengan kawasan tersebut,“ katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Familiarisation Trip bersama Persatuan Agen Kembara Pelancongan (MATTA) Melaka yang turut disertai oleh 30 agen pelancongan negeri di Pantai Siring di sini hari ini.

Pada program itu Zaidi turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara MATTA Melaka yang diwakili Pengerusinya Goh Hock Gin dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Eco District diwakili Presidennya Ravefenizal Ropee Adam.

Zaidi berkata kerjasama itu melibatkan penjualan pakej Taman Laut Melaka dengan empat pakej ditawar iaitu pakej island hoping, pakej selam snorkel, pakej island hoping dan selam snorkel serta pakej selam skuba.

“Kerjasama ini juga dilihat akan memudahkan pelancong berkunjung ke Taman Laut Melaka sebagai satu tarikan baharu kepada pelancong untuk menikmati keindahan pulau di negeri ini.

“Namun, kehadiran pengunjung akan dihadkan bagi tempoh masa tertentu untuk memelihara dan mengekalkan keunikan terumbu karang yang terdapat di kawasan tersebut,“ katanya. -Bernama