KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengarahkan saman pemula yang difailkan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas (gambar) terhadap pasukan petugas khas (STF) dan kerajaan berhubung laporan siasatan mengenai kandungan memoirnya bertajuk ‘My Story: Justice In the Wilderness’, ditukar kepada sivil saman dan diselesaikan melalui perbicaraan.

Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata beliau tidak bersedia untuk membatalkan saman pemula itu.

“Bagaimanapun, saya mengarahkan supaya saman pemula ini ditukar kepada saman sivil untuk didengar dan diselesaikan melalui perbicaraan penuh.

“Memandangkan perkara itu akan didengar oleh hakim bahagian sivil, saya tidak akan membuat sebarang keputusan berhubung perlembagaan atau kesahihan STF. Ia perlu diputuskan di mahkamah sivil,” kata hakim itu.

Wan Ahmad Farid yang sepatutnya memutuskan permohonan STF dan kerajaan untuk membatalkan saman pemula itu berkata kes tersebut juga melibatkan isu fakta yang dipertikaikan.

“Plaintif (Thomas) menegaskan bahawa keseluruhan pelaksanaan - penubuhan STF, penyahklasifikasian laporan STF dan kemudiannya disiarkan, masa - yang hampir dengan Pilihan Raya Umum ke-15 adalah kerana satu tujuan iaitu untuk menyerang kredibiliti plaintif.

“Bagi membuktikan pendapatnya, plaintif bergantung kepada ucapan Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa kempen Barisan Nasional di Bagan Datuk pada 17 Okt 2022. Dalam majlis itu, Ismail Sabri dikatakan memberitahu orang ramai bahawa beliau telah menyebabkan laporan STF itu didedahkan kepada umum supaya boleh dijadikan ‘peluru politik’ untuk PRU,” katanya.

Menurut Wan Ahmad Farid, dalam saman pemula itu, plaintif memohon relief antara lain atas dakwaan kehilangan reputasi.

“Plaintif berkata hak perlembagaannya telah dicabuli. Beliau memohon ganti rugi kerana hilang reputasi. Hakikat bahawa plaintif menyokong tuntutannya mengenai potensi pelanggaran hak perlembagaannya tidak melemahkan tuntutan utama yang berdasarkan tort fitnah.

“Tuntutan sebegini tidak boleh diselesaikan melalui bukti afidavit dan hendaklah dimulakan secara writ,” katanya ketika menyampaikan keputusan hari ini melalui prosiding dalam talian. Hakim membuat keputusan tanpa perintah mengenai kos.

Thomas memfailkan saman itu pada 27 Okt 2022, menamakan pengerusi pasukan petugas khas itu Datuk Seri Fong Joo Chung, tujuh lagi anggota pasukan serta kerajaan sebagai defendan.

Selain Fong, pasukan petugas khas itu dianggotai Datuk Seri Panglima Hashim Paijan, Datuk Dr Junaidah Kamaruddin, Datuk Jagjit Singh Bant Singh, Datuk Shaharudin Ali, K. Balaguru, Farah Adura Hamidi dan Mohd Najib Surip.

Thomas, yang merupakan Peguam Negara dari Jun 2018 hingga Februari 2020, memohon perisytiharan bahawa laporan bertajuk ‘Laporan Pasukan Petugas Khas – SiasatanTerhadap Dakwaan Dalam Buku Bertajuk “My Story: Justice In The Wilderness” ‘, merupakan dokumen tidak sah dan bertentangan dengan undang-undang.

Dalam saman pemula itu, Thomas mendakwa penerbitan laporan tersebut melanggar Seksyen 499 dan 500 Kanun Keseksaan dan/atau Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau juga memohon deklarasi bahawa penerbitan laporan itu oleh kerajaan, melanggar haknya terhadap reputasinya seperti yang dilindungi oleh Perkara 5(1) dan 13(1) Perlembagaan Persekutuan.

Buku tulisan Thomas yang diterbitkan pada Januari 2021 mengandungi pelbagai kontroversi, menyebabkan Kabinet menubuhkan pasukan petugas khas pada 8 Okt 2021, bagi menjalankan kajian terhadap pendedahan terkandung dalam buku tersebut.

Pada 13 Okt 2022, kerajaan menyahklasifikasi laporan pasukan petugas khas itu, antara lain mengesyorkan supaya Thomas disiasat atas kemungkinan pelbagai kesalahan.

Thomas diwakili peguam Mervyn Lai Wei Shiung dan Haikaldin Mahyidin manakala Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, Nur Irmawatie Daud dan Liew Horng Bin bertindak bagi pihak defendan. -Bernama